Yusry Terkejut Penonton Suka Lihat Hero Tua

Penyanyi dan pelakon, Datuk Yusry Abdul Halim, 53, mengakui tidak menyangka watak Datuk Muzaffar lakonannya dalam drama Dendam Seorang Mentua berjaya mencuri perhatian ramai sehingga digelar sebagai ‘hero tua’ oleh penonton.
Menurut Yusry, sambutan luar biasa yang diterima terhadap watak tersebut benar-benar di luar jangkaannya, apatah lagi drama itu turut diminati pelbagai lapisan umur termasuk kanak-kanak.
“Terkejut ramai pula orang suka dengan orang tua sejak kebelakangan ini. Saya tak faham. Tetapi saya rasa ramai yang sukakan karakter Datuk Muzaffar yang sangat ‘caring’. Saya gembira dapat melakonkan watak itu.
“Sejujurnya saya tak sangka drama ini dan watak saya akan viral. Saya sendiri tak faham ‘hype’ yang diterima untuk drama ini.
“Sewaktu kami jalani penggambaran, kita tak menjangkakan drama ini akan menjadi fenomena,” katanya.
Tambah anggota kumpulan KRU itu lagi, pengaruh media sosial khususnya TikTok menjadi antara faktor utama drama tersebut mendapat perhatian penonton dengan cepat.
Katanya, ramai penonton mula mengenali babak-babak menarik drama itu menerusi TikTok sebelum mengikuti siaran penuh di televisyen.
“Sebelum penonton menonton di kaca televisyen, mereka tonton dalam TikTok dulu. TikTok yang pertama melonjakkan drama ini,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, Yusry berkata dia pada awalnya menyangka hanya akan diberikan watak sampingan yang bersesuaian dengan usianya, namun terkejut apabila ditawarkan sebagai teraju utama drama berkenaan.
“Waktu mereka mula-mula tawarkan untuk berlakon, saya ingat saya akan memainkan watak abang atau bapa kerana secara logik watak itu yang sesuai dengan lelaki berumur 53 tahun.
“Tapi mereka cakap tidak, saya akan bawa watak utama. Saya cakap gila ke nak jadikan orang tua sebagai watak utama. Tetapi ternyata percaturan itu menjadi. Ini semua adalah rezeki Allah.
“Saya rasa drama ini ada potensi tersendiri kerana tak pernah lagi orang buat cerita sebegini,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, selain aktif berlakon, suami kepada pelakon Lisa Surihani itu turut muncul dengan single solo terbaharu berjudul Jiwa & Raga.



