Nenek Tersilap Tekan Minyak, Porsche Rempuh Kafe Hotel di Gurney Drive

Seorang wanita berusia 61 tahun didakwa memandu kereta Porsche miliknya merempuh sebuah kafe di tingkat bawah sebuah hotel di Persiaran Gurney, Pulau Pinang.
Kejadian berlaku pada 7 Jun lalu sekitar 11.47 pagi, selepas wanita itu dipercayai tersilap menekan pedal minyak berbanding pedal brek.
Tidak mengalami sebarang kecederaan, wanita yang berasal dari Bukit Mertajam itu difahamkan memandu ke bangunan yang menempatkan hotel dan kondominium tersebut untuk mengambil cucunya.
Ketika kejadian, dia sedang menunggu di lobi tingkat bawah sebelum insiden berlaku.
Menurut Sin Chew Daily, wanita itu dipercayai kurang biasa dengan kawalan kenderaan berkenaan dan didakwa telah menekan pedal minyak secara tidak sengaja ketika mahu bergerak, menyebabkan Porsche tersebut merempuh pintu masuk kafe hotel.
Sebuah kaunter di dalam premis itu berjaya menghalang kenderaan tersebut daripada bergerak lebih jauh.
Seorang pekerja di kafe berkenaan dilaporkan terkejut dengan impak rempuhan tersebut, namun tiada sesiapa mengalami kecederaan. Ketika kejadian, kafe tersebut juga tidak mempunyai pelanggan.
Porsche tersebut mengalami kerosakan di beberapa bahagian termasuk cermin sisi, manakala keempat-empat beg udara kenderaan turut mengembang akibat impak rempuhan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata siasatan awal mendapati wanita berkenaan dipercayai tersalah menekan pedal minyak ketika hendak meninggalkan lokasi.
“Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan. Jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Seorang wakil hotel memberitahu Sin Chew Daily bahawa kakitangan hotel segera membersihkan kawasan kejadian dan menutup kafe tersebut daripada dimasuki orang ramai.
Menurut beliau, pihak hotel akan menuntut pampasan daripada pemandu berkenaan, namun jumlah kerugian masih belum dapat dianggarkan pada masa ini.
“Kafe dijangka akan ditutup untuk tempoh yang agak lama,” katanya.
Kes kini disiasat di bawah kesalahan memandu secara cuai dan tidak bertimbang rasa, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 12 bulan atau denda maksimum RM10,000 jika disabitkan kesalahan.



