Visual ‘Pegang Tangan’ lengkapkan karya istimewa Altimet

Selepas mencuri perhatian menerusi kolaborasi bersama penyanyi baharu Adam Nuqris, lagu Pegang Tangan kini tampil dengan visual rasmi yang dilancarkan sebagai pelengkap kepada karya yang menyentuh hubungan antara ibu dan anak.
Lebih menarik, lagu berkenaan menjadi kemunculan semula Altimet dalam dunia muzik selepas sebelum ini mengumumkan pengunduran daripada arena rap.
Namun, karya itu bukan dihasilkan sebagai projek ‘comeback’, sebaliknya lahir secara organik daripada karya yang pernah disimpan dalam arkib penulisan peribadinya.
Diterbitkan Altimet Holdings Sdn. Bhd. dan diuruskan SVLTAN Management, Pegang Tangan mula mencuri perhatian apabila kewujudannya ‘terbocor’ secara tidak sengaja dalam temu bual Adam Nuqris bersama sebuah stesen radio pada 8 Mei lalu sebelum pengumuman rasmi dibuat.
Lagu itu mengangkat kisah kasih sayang serta perubahan peranan antara ibu dan anak, bermula daripada fasa kanak-kanak yang bergantung kepada ibu bapa sehinggalah tiba saat anak pula menjadi tempat bergantung ketika ibu bapa berdepan usia dan cabaran kehidupan.
Altimet berkata, lagu itu mempunyai nilai yang cukup peribadi dan hadir pada waktu yang sangat bermakna dalam hidupnya.
“Lagu ini datang dalam keadaan yang sangat organik. Ia bukan tentang kembali semula secara besar-besaran, tetapi lebih kepada satu karya yang jujur, lahir daripada momen dan perasaan sebenar.
“Kadang-kadang lagu yang paling ringkas itulah yang paling dekat di hati,” kata penyanyi yang berpengalaman itu.

Dari sudut penerbitan, Pegang Tangan menampilkan sentuhan hip hop mellow hasil penulisan Altimet dengan gubahan Mas Dewangga. Manakala susunan muzik yang minimalis memberi ruang kepada kekuatan lirik dan penyampaian vokal.
Bagi Adam Nuqris pula, peluang bekerjasama dengan Altimet dianggap pengalaman yang amat bermakna dalam perjalanan awal kerjayanya sebagai penyanyi.
“Bagi saya, ini bukan sekadar kolaborasi. Ia adalah ruang untuk belajar dan memahami bagaimana sebuah lagu boleh membawa makna yang sangat dalam walaupun disampaikan secara sederhana.
“Saya bersyukur diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada karya istmewa ini,” tambahnya Adam pula.
Menurut kedua-dua artis, proses penghasilan lagu itu berlangsung secara santai tanpa tekanan komersial, sekali gus membolehkan karya berkenaan berkembang dengan lebih jujur dan dekat dengan pengalaman sebenar.
Pelancaran visual rasmi Pegang Tangan dijangka mengukuhkan lagi naratif emosi yang dibawa menerusi lagu itu, selain memberi dimensi visual kepada karya yang sudah mendapat perhatian pendengar sejak dilancarkan pada 8 Mei lalu.
Lagu Pegang Tangan nyanyian Altimet bersama Adam Nuqris kini boleh distrim disemua platform digital utama, manakala video rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Altimet.



