Hilang Ketika Kecil, Wanita Temui Keluarga Kandung Selepas 35 Tahun Yang Rupa-Rupanya Tinggal Seberang Jalan

Seorang wanita di China akhirnya dipertemukan semula dengan keluarga kandungnya selepas 35 tahun terpisah sejak hilang ketika masih kecil. Lebih mengejutkan, dia sebenarnya menghabiskan seluruh hidupnya tinggal hanya di seberang jalan dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Bapanya pula menghabiskan puluhan tahun mencari anaknya, namun tidak pernah berjaya menemuinya.
Menurut ETtoday, Cui Ning, yang kini berusia 37 tahun, dilaporkan hilang pada tahun 1991 ketika berusia dua tahun di sebuah pasar di Nanning, Guangxi.
Ketika itu, bapanya yang sedang menguruskan gerai sayur memberikan sedikit wang kepadanya untuk membeli pau di gerai berhampiran selepas kanak-kanak itu mula meragam.
Namun, Cui dipercayai tersesat selepas melintas jalan dan memasuki sebuah pasar borong yang sibuk di seberang jalan.
Seorang wanita yang menjual pakaian di pasar berkenaan menemui kanak-kanak itu dan membuat pengumuman bagi mencari ibu bapanya.
Bagaimanapun, tiada sesiapa tampil menuntutnya.
Tidak sampai hati meninggalkan kanak-kanak itu bersendirian, wanita tersebut membawanya pulang ke rumah buat sementara waktu.
Namun akhirnya, dia membesarkan Cui sebagai anak angkatnya sendiri.
Cui memberitahu ETtoday bahawa ibu angkatnya pada mulanya menyangka dia bisu kerana tidak banyak bercakap. Kemudian, berdasarkan loghat percakapannya, mereka menyangka dia berasal dari Yulin, sebuah bandar lain di wilayah Guangxi.
Sementara itu, bapanya hidup dalam penyesalan dan tidak pernah berhenti mencarinya.
Menurut laporan, beliau menghabiskan sepanjang hayat berusaha menjejaki anak perempuannya, namun meninggal dunia tanpa mengetahui bahawa anaknya sebenarnya tinggal hanya di seberang jalan dari tempat dia hilang.
Cui berkata, ibu bapa angkat serta abang angkatnya sentiasa melayannya dengan baik sepanjang dia membesar.
Namun, dengan perkembangan teknologi dan kisah-kisah pertemuan semula keluarga kandung yang sering tular di media sosial, dia mula tertanya-tanya tentang asal-usul dirinya.
Perasaan itu mendorongnya mendaftarkan maklumat dirinya di sebuah platform pencarian keluarga.
Pada 7 Julai tahun ini, Cui mendaftarkan maklumatnya di platform tersebut dan hanya beberapa jam kemudian, kakak kandungnya berjaya menghubunginya.
Mereka kemudian menjalani ujian DNA yang mengesahkan hubungan sebagai adik-beradik.
Sejak itu, Cui telah bertemu semula dengan ibu dan kakak kandungnya.
Pertemuan penuh emosi itu menyaksikan ketiga-tiga mereka tidak dapat menahan air mata selepas akhirnya disatukan semula selepas 35 tahun berpisah.



