“Tiada Niat Mahu Jatuhkan Islam” – Erma Fatima

DILABEL sebagai sutradara yang gemar mempromosikan elemen lucah dan ‘soft porn’, pengarah dan penerbit, Erma Fatima, 56, tidak mengambil hati dengan gelaran tersebut.

Pemilik nama sebenar Fatimah Rahmad Ali, berkata, apa yang dipaparkan dalam dua naskhahnya yang kini sedang ditayangkan, Bidaah dan Keluarga Itu diangkat serta digarap daripada kisah benar.

“Siapa kata seks itu kotor? Seks itu tidak kotor, seks halal kepada pasangan suami isteri yang sudah halal. Seks kotor kerana dilalukan oleh pasangan yang tidak halal.

“Perkara itu bukan masalah saya promosi ‘soft porn’ atau saya gedik sengaja nak buat karya sebegitu.

“Apa yang saya paparkan dalam karya terbitan saya adalah apa yang kita sering baca dalam berita. Tetapi bila divisualkan sebagai sebuah produk seni, mungkin orang masih belum terima.

“Berapa ramai kita dengar tok bomoh perkosa pesakit dan guru tahfiz meliwat anak muridnya? Saya tidak bercerita berkaitan guru tahfiz atau ulama yang mulia dan suci jadi jahat tetapi hanya memaparkan kisah penunggang agama yang sesat,” katanya.

Tutur Erma lagi, apa yang dipaparkan dalam naskhah tersebut bukan bertujuan untuk menjatuhkan agama Islam mahupun merosakkan akidah umatnya.

“Saya tiada niat untuk menjatuhkan Islam kerana saya sendiri seorang umat Islam. Saya juga tidak ada niat untuk menjatuhkan mana-mana ulama.

“Saya menghormati ilmu dan akhlak mereka. Apa yang saya paparkan ini adalah penunggang-penunggang agama yang sudah merosakkan akidah masyarakat kita,” kongsinya lagi.

Mahu memberi kelainan dan enggan lagi dengan drama klise seperti isu curang, Erma berkata, sudah tiba masanya untuk dia menghasilkan karya yang memberi manfaat kepada penonton.

“Bila buka TV semuanya drama berkaitan curang dan penyondol, bila masyarakat nak dididik dengan masalah besar di luar sana.

“Saya dah buat kisah penyondol sebelum ini, drama Perempuan Itu. Cukuplah! Takkan saya nak ulang benda yang sama. Saya mahu buat satu kelainan. Saya mahu lakukan sesuatu yang boleh beri manfaat kepada masyarakat,” tambahnya lagi.

Foto NST

Related post

Leave a Reply