‘Berkarya dari hati, bukan ciplak’

KUALA LUMPUR: Hadir mewarnai persada muzik pada awal 2000, kumpulan berasal dari Bogor, Indonesia yang membawa nama Repvblik Band mengakui fasa awal kemunculan adalah tempoh yang sangat berat.

Pelbagai liku dilalui, namun tidak sedikit mematahkan semangat kumpulan dianggotai Ruri Herdian Wantogia selaku vokalis, Heri Masrulah Achmad (gitar utama), Lafi Hariyatulafian (bes) dan Bachtiar Rahman Hamzah (keyboard).

“Masa tersukar buat kami antara 2006 hingga 2010.

“Kami tahu semua ini adalah proses, mana mungkin nama kami mampu terkenal dalam sekelip mata.

“Di saat itu, pelbagai rasa kami alami, kesusahan, tidak punya pekerjaan dan masalah kewangan.

Republika band

“Kami cuba menjadi dewasa, namun ia hanya lima tahun pertama sahaja seperti orang yang baru bernikah,” kata vokalisnya, Ruri.

Kesabaran itu nyata berbaloi apabila hampir dua dekad memperjuangkan genre pop rock dan alternatif, Repvblik Band sudah boleh berbangga dengan populariti deretan lagu dendangan mereka.

Single Sandiwara Cinta mencatat 114 juta tontonan di platform YouTube.

Selain itu, lagu lain yang tidak kurang popular seperti Selimut Tetangga, Sayang Sampai Mati dan banyak lagi.

Sempena meraikan ulang tahun ke-19, Repvblik Band bakal mengadakan konsert buat julang kalinya di Zepp Kuala Lumpur pada 11 Ogos ini.

Selepas hampir sembilan tahun tidak datang ke Malaysia, pastinya kemunculan Repvblik Band cukup dinantikan peminat.

Konsert dibawakan Aytie Management dan Boomset Planning itu bakal menyajikan peminat dengan pertembungan karya baharu dan lama Repvblik Band termasuk lagu hits seperti Sandiwara Cinta, Selimut Tetangga, Sayang Sampai Mati dan Sandiwara Lagi yang pernah melonjakkan nama kumpulan itu.

Dalam konsert selama hampir dua jam itu, Repvblik Band bersedia untuk membuai perasaan penonton dengan sebanyak 16 lagu popular.

“Proses pemilihan lagu agak mencabar kerana kami melakukan pemilihan secara teliti dengan seleksi lagu paling disukai peminat.

“Sejak awal pembabitan, Repvblik Band sudah memiliki lapan album.

“Kami akan sentiasa memastikan tampil dengan karya baharu setiap tahun. Kejayaan lagu terdahulu menyebabkan peminat meletakkan harapan tinggi.

“Namun, paling penting kami berkarya dari hati dan tidak menciplak karya orang lain,” kata Ruri lagi.

Konsert 19th Anniversary Repvblik Live in Kuala Lumpur mendapat sokongan Hot FM, Kool 101 dan Molek FM yang bertindak sebagai radio rasmi.

Selain itu, Mascot Rider Malaysia (MRMY) yang popular di platform TikTok dan Instagram turut bekerjasama mempromosikan konsert ini.

Related post