Mak Wan Latah menangis tiada ‘job’

AMPANG: Pelakon veteran, Mak Wan Latah tidak menolak kemungkinan beberapa kontroversi lalu menjadi punca tidak mendapat tawaran berlakon hampir setahun lalu.

Dalam nada sebak, Mak Wan atau nama sebenarnya, Halimatussa’diah Mohd Daud, 62, berkata dia pernah merayu kepada pihak produksi untuk memberikannya peluang pekerjaan, namun ditolak atas pelbagai alasan.

“Buat masa ini, saya tidak buat apa-apa, sudah lama tidak menjalani penggambaran drama. Saya tidak tahu apa alasan, cuma mungkin ada kaitan dengan kontroversi lalu.

“Apa yang berlalu biarlah berlalu. saya tidak mahu ingat lagi. Saya kena bina semula hidup walaupun akaun bank pun tinggal kosong.

“Apa yang ada dalam fikiran saya tawaran berlakon kerana saya perlukan duit untuk bayar rumah, kereta dan membeli ubat-ubatan.

“Saya pernah bertanya peluang tawaran berlakon, namun jawapan yang diberikan pihak produksi adalah pilihan pelakon ditentukan stesen televisyen (TV) dan jumlah pengikut media sosial,” katanya kepada BH Online.

Tambah pelakon drama Kekasihku Seru ini, dia juga kesal wujud pilih kasih apabila wajah pelakon veteran sama menghiasi kaca TV.

“Saya sudah 24 tahun berlakon, tetapi bila ditanya, alasan stesen TV minta nak tengok media sosial.

“Mereka hanya ambil nama besar sahaja. Saya bukannya dengki, tetapi apa salahnya berkongsi rezeki.

“Ini tidak, balik-balik wajah sama. Apa jadi dengan kami yang tiada peluang pekerjaan ini. Dapat berlakon satu episod pun saya sudah bersyukur,” luahnya.

Justeru, untuk meneruskan kehidupan, Mak Wan berkata, dia kini berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual barangan makanan.

“Sebelum ini, saya berniaga di Uptown. Malam ini, saya akan ke Pulau Pinang untuk berniaga pelbagai jenis makanan termasuk sambal hitam, biskut dan bawang goreng.

“Sudah mula berniaga sejak lima tahun lalu. Kalau saya tak berniaga, siapa nak bagi saya makan. Takkan nak minta dengan anak-anak.

“Mereka juga ada komitmen sendiri,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media Malam Amal Sepanjang Zaman di sebuah hotel, di sini, petang tadi.

Terdahulu, Mak Wan terheret dengan kontroversi apabila bekas suaminya mendedahkan pelakon drama 7 Hari Mencintaimu 3 itu mempunyai akhlak tidak baik.

Pendedahan itu disusuli dengan pendedahan lain dibuat seorang wanita di laman Twitter yang mendakwa Mak Wan melakukan sihir kepada neneknya kerana cemburu.

Tidak lama selepas itu, tular video yang merakam gelagat Mak Wan berkaraoke dalam tempoh edah.

Terbaharu, bekas pembantu peribadinya pula tampil mendedahkan perbuatan syirik pelakon itu menerusi beberapa video yang tular dalam aplikasi TikTok.

Related post