‘Usah kritik sembarangan’

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Prof Dr Md Nasir Ibrahim kesal agensi itu sering menjadi ‘punching bag’ atau tempat melepaskan amarah segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan inisiatif badan itu dalam memperkasakan industri perfileman tempatan.

Md Nasir berkata, selama ini, FINAS berusaha menggunakan segala kapasiti bagi memperkasakan industri filem biarpun diakui sukar untuk memuaskan hati semua pihak, termasuk pemegang taruh.

“FINAS tidak dapat penuhi permintaan dan kehendak semua orang pada satu masa.

“Justeru, kami sentiasa dijadikan ‘punching bag’ oleh mereka yang tidak berpuas hati,” katanya kepada BH Online.

Md Nasir mengulas polemik dicetuskan pembikin filem bebas, Pete Teo yang mendakwa kerajaan dan agensinya tidak berhak menganggap mereka memiliki pelakon seperti Tan Sri Michelle Yeoh, 60, yang memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), minggu lalu.

Melalui ciapan Twitter, Teo mendakwa agensi kerajaan seperti FINAS gagal membantu perkembangan seni tanah air, justeru, Yeoh dan pelakon Malaysia yang berjaya sepertinya, tidak pernah terhutang budi terhadap dasar seni dilaksanakan di Malaysia.

Dalam ciapan itu, Teo mendakwa rasa geli apabila kerajaan dan agensinya menganggap mereka memiliki pelakon seperti Yeoh.

Pada Anugerah Golden Globe Ke-80, Rabu lalu, Yeoh yang membintangi filem ‘indie’ Hollywood, Everything Everywhere All At Once, menewaskan pesaing iaitu Lesley Manville yang membintangi Mrs Harris Goes To Paris dan Anya Taylor-Joy (The Menu).

Turut kecundang Emma Thompson yang membintangi filem Good Luck To You, Leo Grande dan Margot Robbie (Babylon).

Filem ‘box office’, Everything Everywhere All At Once ditayangkan Mac lalu yang menyaksikan Yeoh melakonkan watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia.

Ini kali pertama pelakon berasal dari Malaysia meraih trofi pada anugerah antarabangsa berprestij itu.

Md Nasir bagaimanapun menganggap kritikan Teo sebagai kes terpencil yang sengaja diperbesarkan sedangkan sumbangan FINAS terhadap pembangunan industri perfileman tidak boleh diperkecilkan.

Menjawab dakwaan Teo, FINAS dikatakan menolak rayuan dana oleh Pengarah Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF), Kim Ji Seok untuk menganjurkan program mempromosikan karya Malaysia pada 2008, Md Nasir menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai bajet untuk program seperti itu.

“FINAS tidak bantu dari segi penganjuran festival filem. Sebaliknya, kami ada dana pemasaran untuk sertai pasaran filem di luar negara.

“Persoalannya, adakah negara lain bantu pihak persendirian menganjurkan festival filem? Apakah kerajaan Hong Kong beri pertolongan, misalnya?

“Memang ada banyak penganjur tempatan yang memohon dana untuk menggerakkan pelbagai festival, namun, hakikatnya FINAS tidak ada peruntukan seumpama itu,” katanya.

Md Nasir menambah, FINAS membiayai sendiri kos menganjurkan Festival Filem Malaysia (FFM) bagi mengiktiraf sumbangan pembikin filem dan penggiat seni tempatan.

Katanya, FINAS pernah menawarkan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) kepada penerbit filem Hollywood ‘pecah panggung’, Crazy Rich Asians lakonan Yeoh pada 2018.

Tambahnya, terbaru FINAS memecah rekod apabila meluluskan FIMI bagi produksi filem asing yang menjalani penggambaran di Malaysia bernilai RM429 juta.

“Ini adalah tanda sokongan FINAS dalam usaha membangunkan industri filem tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Selain itu, kita melaksanakan projek Makmal Pembangunan Filem Cereka Fiksyen Malaysia (MyLAB) bertujuan menggalak dan mengetengahkan bakat baharu ke peringkat global,” katanya.

Md Nasir berkata, FINAS juga menyerahkan cek bernilai RM1.1 juta bagi Skim Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) kepada penerbit tempatan.

“Kita juga ada beberapa dana seperti Dana Kandungan Digital (DKD), sedangkan negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina tiada peruntukan sedemikian untuk pembikin filem.

“Selain DKD, FINAS ada dana mikro bernilai RM20,000 untuk setiap pemohon yang layak. Bagi penggiat di Sabah dan Sarawak, kita peruntukkan RM600,000 untuk dana mikro,” katanya.

Md Nasir berkata, bagi tahun ini, FINAS turut memperkenalkan peruntukan khas untuk pembikin filem pemula yang dikenali sebagai First Time Amateur Filmmaker (FAME) bernilai RM5 juta.

Related post