Bunkface ubat rindu peminat di Sabah

PENAMPANG : Gempak, bertenaga dan menghiburkan. Itulah yang dirasakan pada Konsert Bunkface Rock In Borneo di sini, baru-baru ini.

Berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) pada 19 Julai lalu, ada peminat datang seawal jam 3 petang untuk bertemu secara dekat dengan kumpulan yang cukup dengan lagu genre ‘punk rock’ itu.

Menghiburkan hampir 2,000 peminat, kemunculan Bunkface di Penampang cukup dinantikan terutama peminat setia.

Membuka pentas konsert tepat jam 8 malam, peminat teruja melihat kemunculan kumpulan diketuai vokalis Sam itu menerusi lagu Bunk Anthem dan dan I Miss You.

Adrenalin penonton bagaikan melonjak apabila Bunkface meneruskan konsert dengan menyanyikan lagu Rentak Laguku, Kembali, More dan Soldier.

Sam yang cukup teruja dengan kehadiran penyokong Bunkface, mengajak peminat menyanyikan bersama lagu Malam Ini Kita Punya, yang menjadi antara ‘killier song’ Bunkface sejak 16 tahun bertapak dalam industri muzik tempatan.

Antara lagu lain yang dipersembahkan adalah Silly Silly, Dunia, Darah Muda, Ekstravaganza, Panik, Situasi dan Revolusi.

Ditemui sejurus konsert berakhir, Sam berkata, dia dan ahli Bunkface cukup terharu melihat reaksi peminat sepanjang persembahan.

“Terkejut sebab penonton dari mula sampai habis seperti tidak penat. Kami yang di atas pentas rasa macam putus nafas, tetapi peminat hebat.

“Mereka boleh melompat seawal konsert sehingga lagu terakhir. Itu penghargaan peminat yang kita nampak.

“Mungkin salah satu faktor membuatkan peminat teruja kerana Bunkface kali pertama mengadakan konsert berskala besar seperti ini di Sabah.

“Kita persembahkan lebih 20 lagu dengan durasi lebih dua jam. Kami ucap terima kasih kepada peminat yang sanggup keluarkan duit, datang daripada jauh semata-mata melihat sendiri serta bertemu Bunkface secara lebih dekat,” katanya turut mempersembahkan lagu baharu berjudul Hilang pada konsert itu.

Ditanya mengenai single Hilang, Sam berkata, lagu itu menjadi dendangan terbaru band berkenaan untuk tahun ini.

“Lagu itu lebih menjurus kepada konsep ketuhanan. Secara asasnya, mesej yang hendak kita sampaikan adalah kita harus kembali kepada Allah SWT walau apa keadaan dan situasi yang dihadapi.

“Kebetulan, lagu ini kita cipta pada musim pandemik COVID-19 masih melanda negara. Ketika itu, kita berserah kepada-Nya agar dimurahkan rezeki dan diberi peluang berkarya.

“Alhamdulillah, Bunkface masih di sini dengan situasi negara yang semakin pulih. Kita bersyukur tawaran persembahan tidak pernah putus hingga sekarang,” katanya.

Sam berkata, single Hilang akan dilancarkan, tidak lama lagi, sebaik proses penghasilan video lirik selesai.

“Kita pilih menyanyikan lagu Hilang untuk peminat di Sabah dan kita tengok, penerimaan penonton bagus,” katanya.

Related post