Tegkang Mula Ditayangkan Di Netflix 28 Februari
SETELAH mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar filem tempatan, Tegkang bakal ditayangkan secara rasmi di Netflix sedikit masa lagi setelah berjaya memenangi beberapa anugerah antarabangsa sebelum ini.
Tegkang yang mengangkat budaya masyarakat Sarawak bukan sahaja memberikan sinar baharu kepada sinema tempatan tetapi dalam masa yang sama membuktikan hasil kerja anak tempatan diterima baik sehingga menembusi platform penstriman antarabangsa.
Diterbitkan oleh MyContent Distribution, Tegkang menyajikan kisah yang menyentuh hati berlatar belakangkan pergunungan indah di Bario, Sarawak- serta mengangkat tema kemerdekaan, rasa ingin tahu, rahsia, kekeluargaan, cinta, dan ketabahan menghadapi kecacatan dalam penceritaan yang penuh emosi.
Filem ini memberikan pandangan autentik ke dalam budaya unik masyarakat Kelabit dengan menggabungkan elemen universal dengan tradisi Sarawak yang kaya. Tegkang telah meraih pengiktirafan antarabangsa termasuk memenangi Anugerah Pembikin Filem Pertama Terbaik di Lift-Off Sessions di Pinewood Studios, London.
Tayangan filem ini di pawagam menerima ulasan positif penonton yang memuji jalan ceritanya yang menarik, keindahan budaya yang ditonjolkan serta sinematografi yang memukau dalam menggambarkan keindahan Sarawak.

Dengan sokongan daripada FINAS dan Kementerian Komunikasi Malaysia di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Sarawak, Tegkang berdiri sebagai bukti kepada kehadiran Malaysia yang semakin kukuh dalam landskap perfileman global.
Penerbit Eksekutif Tegkang, Lyn Nasihin menjelaskan apa yang sedang nikmati oleh naskhah ini merupakan hasil kerja daripada seluruh pasukan produksi yang bertungkus lumus bekerja sejak hari pertama lagi.
“Ini adalah saat yang membanggakan bukan sahaja untuk pasukan Tegkang tetapi juga bagi Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan. Matlamat kami sentiasa untuk menyampaikan kisah yang autentik dan penuh emosi sambil menampilkan keindahan landskap serta budaya Sarawak.
“Tayangan Tegkang di Netflix secara global adalah langkah semula jadi dalam usaha membawa kisah kami ke pentas dunia dan kami berharap ia akan menginspirasi lebih banyak kisah dari rantau ini untuk dikongsikan ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Filem yang diterajui oleh Syafie Naswip dan Michelle Lugan itu akan mula ditayangkan di Neflix mulai 28 Februari ini.