Jangan Marah Saya- Kris Dayanti

MAHU menjernihkan keadaan, Kris Dayanti akhirnya tampil meenepis kata-kata kurang senang yang dilemparkan sebahagian peminat terhadap dirinya gara-gara ‘menenggelamkan’ Liza Aziz dalam pertandingan akhir Gegar Vaganza ke-11 baru-baru ini.

Dia yang hadir ke Kuala Lumpur Isnin lalu baru menyedari perkara berkenaan namun mempunyai alasan tersendiri mengapa perkara berkenaan terjadi sehingga menjadi bualan sebahagian besar peminat.

“Sebenarnya saya ada meminta pihak produksi menurunkan satu key tetapi mereka menaikkan pula key itu disebabkan kurang jelas.

“Jadi pada malam tersebut saya terpaksa mengikut key yang telah ditukar itu sehingga kedengaran vokal saya seolah-olah cuba menenggelamkan kemampuan vokal Liza.

“Mungkin itu yang buat penonton tidak puas,” katanya mengulas mengenai duet menerusi lagu Cinta yang dinyanyikan pada malam tersebut.

Jelas Kris Dayanti lagi, dia memang akan menurunkan satu key dalam setiap kali persembahan di Indonesia dan perkara tersebut terjadi sebaliknya ketika membuat persembahan di sini.

Pada malam itu juga, dia hanya menyanyikan bahagian sepatutnya seperti lagu asal duet bersama Melly Goeslow dan tidak sepatutnya timbul isi over shadow seperti yang didakwa sebahagian peminat.

“Jangan marah saya. Semuanya berlaku disebabkan salah faham. Saya saya sayang semua,” katanya dalam sidang media Konsert Cinta Nostalgia Kris Dayanti baru-baru ini.

Kris Dayanti bakal menggegarkan Kuala Lumpur setelah lapan tahun tidak terlibat dalam konsert berskala besar di sini.

Mengulas mengenai konsert tersebut, wanita yang berusia 52 tahun ini mengakui teruja memandangkan sudah lapan tahun tidak beraksi dalam persembahan berskala besar di Kuala Lumpur.

Sementelah dia sendiri sudah terlibat dalam bidang politik di Indonesia, pastinya banyak perkara yang sudah dirancang oleh penyanyi yang popular dengan lagu Mencintaimu ini lagi.

“Saya akan membawa penonton mendengar dan kembali mengingati lagu-lagu yang penuh nostalgia cinta diiringi pemuzik di bawah pengarah Erwin Gutawa.

“Saya akui bertuah kerana terus disayangi dan diterima baik dan saya berharap terus mendapat sokongan anda semua hadir pada malam Konsert Cinta Nostalgia Kris Dayanti nanti,” katanya lagi.

Menjanjikan persembahan terbaik, dia akan membawakan 30 buah lagu dalam konsert yang akan berlangsung pada 22 Jun ini di Axiata Arena, Kuala Lumpur. Tiket pula akan mula dijual bermula 23 Februari melalui laman web Uber Ticket.

Related post

Leave a Reply