Tak Selesa Lakukan Babak Dukung, Elvina Undur Diri Bintangi Sebuah Telefilem

Pelakon, Datin Elvina Mohamad, 30, mendedahkan dia terpaksa melepaskan peluang membintangi sebuah telefilem selepas enggan menjayakan beberapa babak yang disifatkannya melampaui batas keselesaan dan prinsip dirinya sebagai seorang pelakon.
Elvina mengakui pada awalnya dia cukup teruja untuk kembali ke lokasi penggambaran memandangkan sudah agak lama tidak terlibat dalam mana-mana naskhah. Bagaimanapun, perasaan teruja itu diselubungi rasa berat hati yang sukar dijelaskan sejak awal lagi.
“Kadang-kadang naluri kita ini betul. Rasa teruja, tetapi pada masa sama rasa macam berat. Entah, susah nak digambarkan,” katanya dalam sebuah hantaran.
Menurut Elvina, dia sepatutnya memulakan penggambaran telefilem berkenaan dalam masa terdekat, namun membuat keputusan untuk menarik diri selepas mempertimbangkan beberapa perkara.
“Sepatutnya lusa dah nak masuk set untuk telefilem. Dah teruja sebab lama tak berlakon, tetapi akhirnya tak jadi,” ujarnya.
Pelakon itu mendakwa keputusan tersebut dibuat selepas pihak produksi, termasuk pengarah, penerbit dan stesen televisyen, berkeras mahu mengekalkan beberapa babak yang membuatkannya tidak selesa.
“Sebab pengarah, penerbit dan stesen TV berkeras nak buat babak yang bagi saya agak keterlaluan.
“Ada babak kena dukung dan ada satu lagi babak yang saya memang tak selesa langsung dan bagi saya agak keterlaluan. Nak cakap pun geli,” ungkapnya lagi.
Jelas Elvina, dia sebenarnya telah berusaha mencari jalan penyelesaian dengan mencadangkan agar skrip diubah atau menggunakan teknik kamera tertentu bagi mengelakkan babak berkenaan dilakukan secara langsung. Namun, cadangan tersebut tidak mendapat persetujuan daripada pihak terlibat.
“Bila saya minta tukar skrip atau guna helah kamera, katanya tak boleh. Pada akhirnya, saya ada batas dan perkara yang saya tidak selesa untuk lakukan.
“Jadi tak mengapa. Mungkin kerja ini memang bukan rezeki saya. Ada rezeki lain, insya-Allah,” jelasnya.



