Global

Enggan Bayar Makanan Dipesan, Peniaga Thailand Bengang Dengan Segelintir Pelancong Asing

Pemilik restoran dan gerai makanan kecil di kawasan pelancongan Thailand mendakwa semakin ramai pelancong asing mengambil kesempatan enggan membayar selepas menikmati makanan dan minuman yang dipesan.

Peniaga mendakwa keadaan itu berlaku kerana pertikaian bil restoran di Thailand diklasifikasikan sebagai kes sivil dan bukannya jenayah, sekali gus mengehadkan tindakan yang boleh diambil oleh polis di lokasi kejadian.

Salah satu kes yang mendapat perhatian ramai berlaku di Mai Khao, Phuket, apabila sepasang pelancong warga Rusia didakwa cuba meninggalkan sebuah restoran tanpa menjelaskan bil berjumlah 120 baht (kira-kira RM15).

Menurut laporan media tempatan, pasangan itu bukan sahaja enggan membayar, malah dilaporkan mencabar pemilik restoran untuk menghubungi polis kerana percaya pihak berkuasa tidak dapat mengambil tindakan terhadap mereka.

Walaupun polis hadir dan cuba menjadi orang tengah, pertikaian tersebut gagal diselesaikan. Kejadian itu turut menyebabkan beberapa pelanggan lain meninggalkan restoran dan premis berkenaan terpaksa ditutup lebih awal.

Akibatnya, pemilik restoran bukan sahaja kehilangan bayaran bil malah kerugian hasil perniagaan pada malam tersebut.

Kes serupa turut dilaporkan oleh seorang penjual minuman di Phuket yang mendakwa seorang pelancong wanita enggan membayar 80 baht (sekitar RM10) kerana tidak berpuas hati dengan minuman yang dibelinya.

Dia yang telah berniaga hampir 20 tahun itu berkata kejadian sedemikian bukan lagi kes terpencil malah didakwa semakin kerap berlaku.

Di Ao Nang, Krabi, aduan mengenai pelancong yang enggan membayar bil turut direkodkan oleh pejabat penasihat parlimen bagi urusan kepolisan pada tahun 2025.

Menurut rekod, terdapat kes membabitkan seorang pelancong asing yang menghabiskan makanannya sebelum mendakwa hidangan tersebut tidak menepati cita rasa dan enggan membuat bayaran.

Peniaga mendakwa segelintir pelancong mengambil kesempatan terhadap kelemahan undang-undang kerana tindakan lanjut memerlukan proses mahkamah sivil yang memakan kos lebih tinggi daripada jumlah bil yang dipertikaikan.

Susulan itu, pengusaha restoran menggesa pihak berkuasa Thailand mencari mekanisme lebih berkesan bagi melindungi perniagaan kecil daripada kerugian akibat tindakan pelanggan yang tidak bertanggungjawab.

Related Articles

Back to top button