“Tangguh Album Keputusan Saya Sendiri”

Penyanyi dan komposer, Hael Husaini, 38, tampil menjelaskan bahawa keputusan menangguhkan pelancaran album terbaharunya dibuat atas kehendaknya sendiri, bukannya disebabkan pihak label rakaman seperti yang diperkatakan segelintir pihak.
Menurut pemilik nama sebenar Hal Husaini Razmi, penangguhan tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan yang telah diteliti bagi memastikan album berkenaan diterbitkan pada waktu yang paling sesuai.
“Penangguhan album saya adalah atas keputusan sendiri. Ia akan diterbitkan pada masa yang tepat,” katanya.
Dalam masa sama, Hael turut menepis tanggapan yang meletakkan tanggungjawab penangguhan itu sepenuhnya kepada syarikat rakamannya, Rocketfuel Entertainment.
Jelas penyanyi itu, label yang menaunginya sejak sekian lama sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap perjalanan seni dan segala perancangan kariernya.
“Sementara itu, label rakaman saya telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap karier saya sejak 2013.
“Mereka memberikan kebebasan penuh kepada saya untuk merancang, termasuk memilih tarikh sesuai untuk menerbitkan naskhah.
“Jadi, jangan letakkan sepenuhnya kepada mereka. Kadang kala artis itu sendiri yang membuat keputusan untuk kebaikan mereka,” katanya lagi.
Pada masa sama, Hael menegaskan setiap keputusan yang dibuat berhubung perjalanan kerjayanya adalah demi memastikan karya yang dihasilkan dapat dipersembahkan dalam keadaan terbaik kepada peminat.



