Syafiq Yusof Percaya Blood Brothers Setanding Karya Antarabangsa

Mengangkat kisah dunia mafia, Skop Productions dengan kerjasama Primeworks Studios mempersembahkan naskhah terbaharu berjudul Blood Brothers: Bara Naga, sebuah filem aksi mendebarkan yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 10 April ini.

Diarahkan oleh dua nama besar iaitu Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, Blood Brothers: Bara Naga membariskan pelakon-pelakon berkarisma seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, Wan Hanafi Su, Zamarul Hisham, Ray Dap Dap, dan ramai lagi.

Selaku sutradara, Syafiq berkata, dia yakin dengan setiap adegan yang menjanjikan kepuasan maksimum, diperkuat dengan visual memukau serta sinematografi yang terbaik, filem itu mampu bersaing dengan karya antarabangsa.

“Dua tahun penuh dedikasi telah dicurahkan untuk menghasilkan Blood Brothers: Bara Naga.Setiap peringkat, bermula daripada perancangan, penulisan, penggambaran, hingga pasca produksi, menyaksikan usaha gigih daripada seluruh kru dan pelakon.

“Saya yakin filem ini akan membuka lembaran baru dalam industri filem negara dan memberi inspirasi kepada karyawan lain untuk menghasilkan karya yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.” katanya yang ditemui pada malam gala dan tayangan perdana filem itu, pada Isnin.

Tayangan perdana Blood Brothers: Bara Naga turut diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.; Pengasas Skop Productions, Datuk Yusof Haslam; Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Nini Yusof.

Sementara itu, pengarah bersama, Abhilash Chandra meluahkan rasa gembira dan berbesar hati apabila dapat bekerjasama dengan Syafiq.

“Bekerja dengan Syafiq Yusof untuk Blood Brothers: Bara Naga memang satu perjalanan kreatif yang luar biasa. Kerjasama ini beri kami peluang untuk teroka idea baru dan cipta satu cerita yang berkesan dan kuat.

“Setiap babak ada impak dan tujuan tersendiri, dan saya yakin penonton dapat rasa terhubung dengan jalan cerita yang kami bawakan ni.” jelasnya.

Related post

Leave a Reply