Status Pernikahan Dengan Kamal Adli Tidak Sah? Uqasha Senrose Minta Pandangan Agamawan
Pelakon, Uqasha Senrose, 33, mempersoalkan status pernikahannya dengan Kamal Adli selepas mendapati terdapat perbezaan antara tarikh dan waktu akad nikah sebenar dengan yang tertera pada sijil rasmi perkahwinan mereka.
Pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen meluahkan kekeliruan apabila mendakwa dirinya dinikahkan tanpa pengetahuan sebenar pada waktu yang berlainan daripada yang dimaklumkan kepadanya sebelum ini.
Menurut aktres itu, dia dimaklumkan akad nikahnya berlangsung pada 5 November 2021 jam 9 pagi, namun berdasarkan rekod pada sijil nikah, pernikahan itu dikatakan berlaku pada 4 November 2021 jam 9.30 malam.
“Masya-Allah, satu lagi perkara yang saya baru tahu. Saya ingatkan saya dinikahkan pada 5 November pagi, tapi dalam sijil tertulis 4 November malam.
“Allahuakbar, sahkah perkahwinan ini tanpa pengetahuan bakal isteri? Cukupkah syaratnya?” luah Uqasha menerusi hantaran di Instagram.
Dalam pada itu, Uqasha turut menyuarakan rasa ragu terhadap kesahihan maklumat dalam sijil nikahnya yang didakwa dibuat tanpa pengetahuan dirinya selain memohon pandangan golongan agamawan bagi menjelaskan kedudukan sebenar hukum dalam situasi yang dihadapinya.
“Selama ini saya rasa seperti diperdaya. Keluarganya mempengaruhi bapa saya untuk mempercayai pernikahan itu sah hanya kerana sudah ada wali. Tolong saya, ustaz dan ustazah,” katanya lagi.
Sebelum ini, Uqasha dilaporkan memfailkan perceraian terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu dan kes tersebut dijadualkan untuk disebut semula di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 28 Oktober ini.
Untuk rekod, pasangan itu bernikah dalam satu majlis tertutup di Janda Baik, Pahang pada 5 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia setahun enam bulan.
