Siti Saleha Dilantik Sebagai Profesor Adjung Di Taylor’s University.
Pelakon, Siti Saleha, 35, melakar satu lagi pencapaian baharu apabila dilantik sebagai Profesor Adjung bagi program Sarjana Muda Seni Persembahan di Taylor’s University.
Pelantikan tersebut menjadi titik permulaan kepada fasa baharu dalam perjalanan hidup dan karier seninya.
Menurut pemilik nama penuh Siti Saleha Mohd Baharum, dia amat terharu serta bersemangat untuk memikul tanggungjawab besar tersebut dan peluang untuk berkongsi ilmu serta pengalaman dengan generasi baharu dalam bidang seni.
“Terima kasih kepada Taylor’s Performing Arts atas penghormatan luar biasa ini. Saya benar-benar berasa rendah diri dan tidak sabar untuk memulakan babak baharu sebagai Profesor Adjung,” tulisnya dalam ruangan komen hantaran rasmi Taylor’s University di Instagram.
Taylor’s University sebelum itu mengumumkan pelantikan aktres itu melalui laman sosial rasmi mereka, sekali gus mendapat perhatian ramai rakan industri dan peminat.
Mengulas lanjut, Siti Saleha berkata dia berharap pelantikan itu menjadi ruang untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang dinamik dan saling menginspirasi.
“Sungguh bermakna apabila dapat berkongsi, belajar dan berkembang bersama minda-minda kreatif ini. Mari kita cipta kisah-kisah baharu yang melangkaui sempadan bilik kuliah!” katanya lagi.
Dalam pada itu, pihak universiti berkenaan menyifatkan kehadiran Siti Saleha bakal memberi nafas segar kepada pelajar seni persembahan di institusi tersebut.
“Kami berbesar hati menyambut kehadiran pelakon berbakat dan pemenang anugerah, Siti Saleha, sebagai Profesor Adjung.
“Dengan pengalaman luasnya dalam industri televisyen dan filem, beliau pasti mampu menjadi sumber inspirasi kepada para pelajar,” ujar kenyataan itu.
