Shuk Sahar Ceraikan Isteri Melalui Panggilan Telefon
Isteri kepada pelawak, Shuk Sahar iaitu Fara Salleh mendedahkan sudah diceraikan oleh suaminya menerusi panggilan telefon pada pukul 12.45 tengah hari, Isnin.
Fara yang kini sedang hamil bagaimanapun tidak mengetahui mengapa suaminya melafaz talak ketika berada di Thailand.
“Kira-kira pukul 12.45 tengah hari tadi dia baru ceraikan saya. Dia buat lafaz cerai di pejabat agama Satun, Thailand tempat kami nikah tempoh hari.
“Dia bersama imam dan pegawai di sana tetapi saya pun tak pasti kenapa dia melafazkan talak di sana.
“Pihak pegawai itu juga memaklumkan perceraian tetap perlu diuruskan di Malaysia,” katanya memetik laporan Kosmo.
Meskipun usia perkawinan baru dua tahun, Fara berkata dia bersyukur kerana akhirnya bebas daripada Shuk .
“Alhamdulillah, Allah permudahkan. Saya rasa gembira dan tenang sebab selama ini saya tertunggu-tunggu berapa lama proses ini akan selesai.
“Selama bergelar isteri masih banyak batas yang perlu diikuti. Secara sahnya kami memang sudah bercerai cuma, dari segi undang-undang kami tiada dokumen lengkap.
“Saya akan selesaikan pengesahan pendaftaran nikah kami 15 April ini di sini. Saya tak akan diam dan jadi bodoh sebab kami ada anak,” kongsinya.
Selain itu, Fara juga mendakwa pelawak berusia 39 tahun itu gagal menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.
“Dari awal mengandung dia tidak bertanggungjawab padahal dia ada dua anak dan berpengalaman menguruskan bekas isteri.
“Selama dalam perkahwinan, dia tak pernah melindungi dan bertanggungjawab. Kalau dia kata nak bertanggungjawab, kenapa ceraikan saya di sana?
“Padahal dia dah terima surat 15 April ini untuk pergi pejabat agama buat pengesahan perkahwinan. Nampak dia enggan bertanggungjawab terhadap anak ini dan mahu bercerai cepat,” tambah Fara seperti dilaporkan Kosmo.
Untuk rekod, Fara dan Shuk mendirikan rumah tangga pada November 2023 dan ini merupakan perkahwinan kedua pelawak itu.