Kerajaan Umum Rebat Kepada Pembikin Filem
Bagi merangsang lebih banyak filem bertaraf antarabangsa, kerajaan telah mengumumkan akan memberi rebat 30 peratus kepada syarikat pengeluar filem tempatan.
Perkara tersebut telah diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang menjelaskan rebet tunai itu diperkenalkan di bawah Insentif Filem Malaysia (FIMI).
“Kita perlu beri peluang kepada syarikat filem tempatan dengan menghulurkan pelbagai struktur bantuan lebih baik dan mantap.
“Kalau bajet yang dikeluarkan untuk sesebuah filem bernilai RM7 juta, Insya-Allah, RM1 juta akan dikembalikan (kepada penerbit).
“Inisiatif ini adalah suatu laluan ke hadapan di mana syarikat produksi bukan hanya bergantung kepada dana FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), sebaliknya melalui keterbukaan dan pembabitan syarikat lain,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika hadir ke majlis tayangan perdana filem Blood Brothers di IOI Putrajaya malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Ahli Perbadanan FINAS, Zed Zaidi dan Pengarah Urusan Skop Productions, Datuk Yusof Haslam
Turut serta barisan pelakon iaitu Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson dan beberapa pelakon lain termasuklah pengarah Blood Brothers, Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra.
Dalam pada itu, Fahmi turut meminta syarikat produksi menghasilkan lebih banyak karya yang bukan sahaja menghiburkan serta mampu meraih kutipan besar.
“Kita perlu hasilkan filem yang bukan sahaja menghiburkan tetapi mampu jana pendapatan.
“Hendak dapatkan filem bagus, asasnya perlu ada skrip mantap serta sutradara yang bagus dan suntingan yang lengkap.
“Saya minta Pengerusi dan CEO FINAS teliti dan bantu lahirkan lebih banyak syarikat produksi seperti Skop Productions. Jadi, ambillah sedikit masa tonton filem tempatan,” ujarnya lagi.
Foto: Kosmo