Semua Ada ‘Class’, Barisan Pelakon Filem Aksi Tarung: Unforgiven Diperkenalkan

Industri perfileman tempatan bakal digegarkan dengan kemunculan filem aksi baharu berjudul Tarung: Unforgiven yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei hadapan.
Filem terbitan Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw ini diarahkan oleh pengarah terkenal Razaisyam Rashid, yang juga merupakan seorang pengarah prolifik yang terkenal dengan visual dan sinematografi yang memukau.
Majlis pengenalan barisan pelakon utama berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), sekali gus menandakan langkah awal promosi filem tersebut menjelang tayangan rasminya sedikit masa lagi.
Pada majlis sama, sebuah video promosi berdurasi satu minit turut dilancarkan dan bakal ditayangkan secara eksklusif di pawagam seluruh negara.

Filem ini menghimpunkan barisan pelakon popular tanah air termasuk Bront Palarae, Zul Ariffin, Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel serta Theebaan G.
Menurut Razaisyam, kekuatan utama filem ini terletak pada gabungan pelakon yang membawa pelbagai lapisan emosi dalam penceritaan.
“Filem ini berdiri atas kekuatan ‘ensemble cast’ yang saling melengkapi. Tema utamanya sangat peribadi ‘you vs you’. Pertarungan paling sukar sebenarnya adalah melawan kelemahan, ego dan ketakutan dalam diri sendiri,” katanya.
Tambahnya lagi, Tarung: Unforgiven merupakan projek produksi terbesar pernah dihasilkannya setakat ini, selain menampilkan pendekatan baharu dari segi gaya visual, koreografi aksi dan cara penceritaan.

Dalam masa sama, filem ini turut menjadi titik penting dalam kerjaya Aedy Ashraf apabila beliau tampil sebagai Penerbit Eksekutif dan Penerbit melalui syarikat produksinya, Alpha47.
Aedy berkata, keputusan menerbitkan filem blockbuster sendiri pada usia 33 tahun merupakan satu langkah berani, namun dilihat sebagai evolusi dalam perjalanan kerjayanya dalam industri hiburan.
“Melalui Alpha47, saya kini terlibat secara langsung dalam pembangunan projek, proses produksi dan hala tuju kreatif filem.
“Kerjasama dengan Razaisyam Rashid juga sangat mengujakan kerana kami berkongsi visi untuk menghasilkan karya yang kompetitif dan mampu menarik penonton arus perdana,” katanya.
Tarung: Unforgiven mengisahkan seorang bekas juara silat yang dihantui dosa silam selepas berlakunya satu tragedi.
Demi menyelamatkan kakaknya, dia terpaksa menyertai gelanggang pertarungan haram tanpa menyedari bahawa lawan yang bakal dihadapinya merupakan seseorang yang pernah rapat dalam hidupnya.



