“Jangan Buat Lawak Melibatkan Solat”

Pelakon, Kamal Adli, 40, tampil menegur secara terbuka tindakan seorang individu yang didakwa menjadikan ibadah solat sebagai bahan gurauan di media sosial.
Pemilik nama sebenar Ahmad Kamal Ahmad Adli, menegaskan perkara yang melibatkan ibadah tidak sepatutnya dipermainkan walaupun sekadar untuk tujuan hiburan atau jenaka.
“Jangan buat lawak melibatkan solat, dik. Lawak seperti ini sudah basi. Baik cikgu disiplin ambil tindakan,” tulisnya dalam sebuah hantaran.
Teguran tersebut dibuat selepas tular sebuah video memaparkan seorang individu sedang menunaikan solat sebelum terpaksa berhenti secara tiba-tiba apabila barangan di dalam poketnya terjatuh ketika sedang rukuk.
Rakaman berkenaan kemudian dikongsi semula oleh beberapa pengguna lain yang menambah kapsyen berbentuk jenaka, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata wargamaya menyokong teguran Kamal dan berpendapat perkara berkaitan ibadah seharusnya dihormati serta tidak dijadikan bahan hiburan.
Bagaimanapun, terdapat juga segelintir netizen yang berpandangan video tersebut mungkin sekadar situasi spontan tanpa niat untuk mempermainkan agama.
Perkongsian itu sekali lagi membuka perbincangan dalam kalangan masyarakat mengenai batas gurauan di media sosial, khususnya apabila melibatkan perkara berkaitan agama dan ibadah.



