“Saya Tidak Bercinta Semasa Dia Di Bawah Umur” – Kim Soo Hyun

PELAKON yang sedang dihenyak kontroversi, Kim Soo Hyun menafikan dakwaan terhadapnya berkenaan hubungan cinta yang dijalinkan bersama mendiang Kim Sae Ron ketika aktres tersebut masih di bawah umur.

Sebaliknya, menurut Soo Hyun, dia menjalinkan hubungan istimewa dengan Sae Ron hanya seketika hanya dalam tempoh setahun pada 2020.

“Saya dan mendiang telah menjalin hubungan selama kira-kira setahun, lima tahun lalu iaitu empat tahun sebelum drama lakonan saya Queen of Tears disiarkan.

“Saya tidak bercinta semasa dia (Sae Ron) masih di bawah umur,” katanya dalam satu sidang media khas semalam.

Soo Hyun menjelaskan, dia pernah menafikan dakwaan berkenaan sebelum ini, namun orang ramai tidak mempercayai kenyataannya pada waktu itu.

“Pada masa itu (2020) saya menafikan hubungan kami. Wajarlah jika netizen mahu mengkritik saya kerana itu, saya faham sekiranya mereka (netizen) tidak percaya apa yang saya katakan tentang hubungan kami.

“Kami adalah pasangan biasa seperti orang lain. Kami mempunyai perasaan antara satu sama lain dan akhirnya berpisah,” katanya dalam satu sidang media yang berlangsung di Korea Selatan.

Tambah Soo Hyun, dia tidak lagi berhubungan dengan Sae Ron selepas hubungan mereka terlerai.

“Selepas kami berpisah, kami jarang berhubung. Walaupun dia terlibat dalam insiden DUI, ia bukan mudah untuk dihubungi. Saya tahu dia sedang bercinta dengan lelaki lain ketika itu,” tuturnya.

Dalam masa sama, Soo Hyun turut menyangkal dakwaan tentang khabar angin kematian Sae Ron yang membabitkan dirinya.

“Tidak benar sama sekali dia membuat pilihan tragis (bunuh diri) kerana saya atau berkaitan isu hutangnya dengan agensi saya,” tegasnya lagi.

Ketika sidang media berlangsung, Soo Hyun tidak berhenti-henti menangis dan menyatakan kebimbangannya terhadap pendedahan kehidupan peribadinya yang dibongkar oleh saluran YouTube Ga Se Yeon.

“Saya selalu menganggap diri saya sebagai pengecut. Saya mengambil masa lama untuk membuat sidang media ini.

“Setiap kali kehidupan peribadi saya didedahkan, saya rasa seperti ingin memberitahu tentang segala-segalanya. Mari kita tamatkan sahaja situasi ‘neraka’ ini,” katanya.

Sebelum ini, nama Soo Hyun menjadi bualan selepas dia didakwa menjadi punca kematian Sae Ron.

Selain bercinta dengan gadis bawah umur, Soo Hyun juga dikatakan pernah mendesak Sae Ron untuk menjelaskan hutang sebanyak RM2.1 juta kepada syarikat pengurusannya.

Pada 16 Februari lalu, Sae Ron ditemukan mati di rumahnya di Seongsu-dong, Korea Selatan pada hari jadi ke-37 Soo Hyun.

Related post

Leave a Reply