Pengacara Popular Umum Peluk Islam Sempena Kedatangan Syawal

SELEBRITI dan pengacara popular Ruben Onsu mengumumkan telah memeluk Islam melalui satu hantaran di media sosial ketika umat Islam di Indonesia merayakan Aidilfitri pada Isnin.

Dia memohon maaf kerana baru sahaja berkesempatan menyampaikan berita tersebut sementelah sibuk memberikan fokus untuk melakukan ibadah sepanjang Ramadan berlangsung.

“Sebagai manusia, saya tidak luput daripada melakukan kesalahan dan akan terus berusaha memperbaiki untuk menjadi lebih baik.

“Keputusan ini sudah lama saya fikirkan dan tidak ada kaitan dengan rumah tangga yang pernah dijalani. Ia juga bukan paksaan sesiapa,” katanya melalui hantaran tersebut.

Dalam nada yang merendah diri, pengacara program Brownies ini turut memohon maaf sekiranya ada tindakannya menyinggung perasaan individu lain selain memohon doa orang ramai agar terus istiqamah menjadi Muslim yang baik.

Dia juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada beberapa pihak termasuklah Habib Usman Yahya selaku ulama yang membantunya memeluk Islam selain penyanyi Lesti Kejora dan Karyika Putri yang menemani sepanjang proses tersebut berlangsung.

“Semoga saya terus istiqmah. Terima masih kepada Lesti Kejora yanh sejak awal memberikan semangat dalam setiap proses dan menjadi pendengar yang baik serta memberikan jawapan yang baik tanpa menyakiti hati orang lain,” tulisnya.

Dalam beberapa hantaran lain melalui Insta Story pula, dia memuat naik beberapa keping gambar menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Ivan Gunawan dan mendapat respons positif daripada peminat.

Untuk rekod, Ruben bercerai dengan Sarwendah lpada September tahun lalu. Pasangan tersebut dikurniakan dua anak kandung perempuan dan seorang anak angkat lelaki.

Related post

Leave a Reply