“Saya Menyanyi Di Jalanan Umur 8 Tahun Kerana Tidak Mahu Bebankan Orang Tua”

“Saya Menyanyi Di Jalanan Umur 8 Tahun Kerana Tidak Mahu Bebankan Orang Tua”

Penyanyi remaja Indonesia, Farel Prayoga, 15, mengakui pergolakan keluarga yang tercetus sebelum ini meninggalkan kesan mendalam sehingga mengganggu perjalanan awal kerjayanya dalam dunia seni.

Farel memberitahu, episod membabitkan ibu tiri dahulu banyak mempengaruhi emosinya, namun memilih untuk tidak lagi menoleh ke belakang dan ingin meneruskan kehidupan.

“Bagi saya, semuanya sudah berlalu. Sekarang saya hanya berhubungan dengan ayah dan adik dan fokus meneruskan persekolahan di Jakarta.

“Saya akui pengalaman lepas membuatkan saya sukar mempercayai orang. Ia memberi tekanan dari segi mental, lebih-lebih lagi apabila saya masih perlu bekerja dan membuat persembahan,” katanya ditemui di pelancaran single terbaharunya, Lemak Manis.

Sebelum ini, Farel pernah berkongsi bahawa dia didakwa didera ibu tiri serta dipaksa bekerja. Namun, remaja itu menjelaskan realiti kehidupan keluarganya memang memerlukan dia membantu sejak kecil.

“Kami pernah berada dalam keadaan ekonomi yang sangat mencabar. Saya mula menyanyi di jalanan ketika berumur lapan tahun kerana tidak mahu membebankan orang tua untuk membeli makanan atau mainan.

“Kalau saya tidak turun menyanyi, memang tiada apa untuk dimakan. Sebab itu saya ‘busking’ lama setiap hari. Hampir semua pendapatan saya ketika itu digunakan untuk keperluan keluarga,” katanya lagi.

Mengimbas kembali zaman kecilnya yang sarat tekanan, Farel mengaku ada masa dirinya hampir tidak mampu menanggung keletihan.

“Pernah saya cakap pada ibu bapa yang saya penat. Tapi sebagai orang tua, mereka tentu mahukan masa depan yang lebih baik untuk saya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Farel memilih untuk tidak melayan kecaman netizen yang sering mempersoalkan hidupnya.

“Biasalah, pasti ada yang mengata. Netizen memang begitu. Saya sendiri tidak suka membaca komen. Saya lebih suka bermain permainan video ataupun lepak dengan kawan-kawan. Saya sudah terbiasa, hidup ini saya jalani sahaja,” katanya.

Farel kembali merakamkan semula lagu Lemak Manis nyanyian asal Roslan Madun, dalam versi baharu yang diiringi orkestra dan dirakamkan di Jakarta.

Related post

Leave a Reply