’Saya Belum Bersuami’ – Emma Maembong Nafi Nikah DJ Kidd
SETELAH sekian lama berdiam diri, pelakon, Emma Maembong, 33, akhirnya tampil memberi penjelasan mengenai hubungannya dengan seorang deejay kelab malam yang dikenali sebagai DJ Kidd.
Mengakui saling mengenali antara satu sama lain, pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail bagaimanapun menyangkal dakwaan mereka sudah berkahwin.
Tegas Emma, hubungannya dengan DJ Kidd sebatas seorang kawan dan tidak lebih daripada itu.
“Saya mengaku memang saya berkenalan dengan dia, cuma kami berdua hanya sekadar kawan dan tidak pernah bercinta.
“Saya kenal dia ketika dia menjadi pembantu peribadi kepada kenalan saya di lokasi penggambaran.
“Saya perlu beri penjelasan kerana ramai fikir saya dan dia sudah berkahwin. Kami belum berkahwin, saya masih solo dan belum bersuami.
“Bila tahu fasal gosip saya dah berumah tangga, mulanya saya tak nak layan sampai isu ini hilang sendiri, rupanya gosip itu masih datang sehingga ada yang ingat saya isteri orang,” katanya dalam sebuah majlis baru-baru ini.
Dalam pada itu, bintang filem Bisikan Jenazah itu turut menafikan dakwaan mengatakan DJ Kidd menjadi punca dia dan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar bercerai.
“Dia bukan punca saya bercerai, apa yang sudah terjadi tidak perlu diungkit semula. Buku yang sudah ditutup untuk apa kita buka semula.
“Saya selalu kata, apa-apa yang jahat salahkan sahaja saya dan bukan orang di sekeliling saya,” tambah Emma lagi.
Terdahulu, timbul desas desus mengatakan Emma sudah bernikah dengan DJ Kidd susulan tindakan lelaki itu memuat naik hantaran memaparkan aksi mesra mereka bersama beserta ucapan ‘I will the best husband for you’.
Oktober tahun lalu, Emma mendedahkan sudah berpisah secara baik dengan Shazli Azhar selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Shariq Gabriel, 5, dan Shakil Aryan Shah yang kini berusia dua tahun.