Konsert Hari Raya, M. Nasir Buat ‘Kerja Gila’
MAHU memberikan kelainan dan memuaskan hati sebahagian besar peminat menjadi agenda utama kepada lelaki yang satu ini. Karyanya tidak pernah mati dan sering didahagakan oleh sebahagian mereka yang ‘memujanya’.
Mempunyai senarai repertoire yang mencakupi balada, pop, rock, komersial, patriotisme ataupun raya, hampir semua karya sentuhan magis Datuk M. Nasir menjadi kegemaran peminat.
Kali ini M. Nasir kembali dengan Konsert Cipta Raya sementelah sukses dengan Konsert Cipta 1 & 2 M. Nasir pada tahun lalu.
“Cipta Raya sebuah konsert yang sangat istimewa dan perlu diraikan seperti hari raya, hari kemenangan kita semua,” ujar lelaki berusia 67 ini ringkas.
Realitinya, ini merupakan antara ‘kerja gila’ yang bakal dilakukan M. Nasir untuk menganjurkan konsert sempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri- yang tidak pernah dilakukannya sepanjang bergelar anak seni.
Cipta Raya, sebuah konsert dengan tema mengangkat martabat lagu-lagu raya akan dianjurkan oleh Icon Entertainment pada 13 April ini bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
Sesuai namanya Cipta Raya, konsert ini akan dipenuhi lagu-lagu raya. Konsert ini dibikin khusus secara ‘spin off’ oleh Icon Entertainment sebagai apresiasi dan membuktikan bahawa semua genre lagu boleh diraikan dalam skala konsert jika mempunyai konsep yang betul.
“Cipta Raya adalah sebuah ‘spin off’ daripada konsert Cipta 2 M. Nasir yang diakhiri dengan lagu raya, Satu Hari Di Hari Raya yang mendapat sambutan dan menjadi tular berminggu-minggu di dalam media sosial sebelum ini.
“Dari situlah timbul ilham untuk Icon Entertainment membuat ‘spin off’ konsert yang pertama kali diadakan sebab biasanya konsep ini diguna pakai dalam filem sahaja.
“Namun melihat sambutan dan M. Nasir punya banyak karya raya sama ada nyanyian sendiri atau dicipta untuk penyanyi lain, kita fikir kenapa tidak anjurkan Cipta Raya? Cipta Raya ini juga yang dibuat dalam bulan raya sebagai sebuah keraian menyambut Aidilfitri,” ujar penerbit dan juga pengasas Icon Entertainment, Iman Tang.
Cipta Raya menurut Iman Tang lagi akan menyaksikan M. Nasir mempersembahkan sekitar 20 buah lagu dengan 17 daripadanya merupakan karya lebaran yang pasti mengusik jiwa.
Tentu sahaja idea dan konsep yang diketengahkan Icon Entertainment disambut baik M. Nasir. Bagi sifu yang bukan sedikit pengalaman dalam industri muzik dan terlibat dengan pelbagai persembahan pentas, Cipta Raya ini nanti pasti mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Cipta Raya akan dipenuhi lagu raya yang bukan sahaja dipopularkan oleh M. Nasir tetapi juga oenyanyi lain yang menjadi kegemarannya sejak dahulu lagi.
“Apakah judul lagu-lagu raya kegemaran M. Nasir dan akan didendangkan pada Cipta Raya, 13 April 2025 ini, nantikan!” ujar Iman Tang lagi.
Untuk mereka yang membeli tiket turut akan dijamu dengan juadah raya sebelum konsert bermula. Pastinya Konsert Cipta Raya akan meninggalkan kenangan manis buat peminat setia sifu yang satu ini.