Salman Khan Terima Ugutan Bunuh Lagi
Aktor filem Bollywood, Salman Khan sekali lagi menerima ancaman bunuh. Kali ini, Salman menerima ancaman tersebut menerusi Whatsapp.
Difahamkan, mesej tersebut dihantar ke nombor rasmi Jabatan Pengankutan Worli, Mumbai.
Pihak polis memberitahu, mesej tersebut mengugut membunuh Salman di kediamannya, Galaxy Apartments di Bandra.
Selain itu, ugutan tersebut turut menyatakan mahu meletupkan kereta pelakon itu menggunakan bom.
Susulan daripada mesej itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Worli terhadap individu tidak dikenali baru-baru ini.
Siasatan kini sedang dijalankan bagi mengesan penghantar mesej berkenaan.
Terdahulu, Salman Khan telah beberapa kali menerima ugutan bunuh, khususnya selepas disabitkan bersalah dalam kes menembak antelop hitam pada tahun 1998.
Pada 14 April tahun lalu, dua lelaki bermotosikal melepaskan empat das tembakan ke arah kediamannya sebelum melarikan diri.
Dalam insiden itu, Kumpulan gangster Lawrence Bishnoi telah mengaku bertanggungjawab menerusi satu hantaran di Facebook.
Pertelingkahan antara Salman Khan dan Lawrence Bishnoi dikatakan berpunca daripada kes antelop hitam, haiwan yang dianggap suci oleh komuniti Bishnoi.
Perkembangan terkini menyaksikan Salman Khan dikawal rapi dengan tahap keselamatan tertinggi dan kediamannya turut dilengkapi sistem keselamatan berteknologi tinggi termasuk kamera litar tertutup dan tingkap kalis peluru.