‘Sakit Rasa Nak Mati’ – Daiyan Trisha Kongsi Pengalaman Dijangkiti Influenza A

‘Sakit Rasa Nak Mati’ – Daiyan Trisha Kongsi Pengalaman Dijangkiti Influenza A

Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha, 31, berkongsi pengalaman perit ketika diserang virus Influenza A yang disifatkannya jauh lebih menyakitkan berbanding jangkitan Covid-19.

Daiyan berkata, dia terpanggil untuk berkongsi kerana ingin meningkatkan kesedaran orang ramai berikutan peningkatan kes jangkitan virus tersebut.

“Saya rasa sakit yang amat teruk, seperti rasa nak mati. Ia bermula dengan sakit tekak, dan dalam masa yang singkat badan saya terus tumbang.

“Hari pertama, saya langsung tidak bermaya dan hanya mampu terbaring di katil,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Daiyan turut memberitahu sepanjang dijangkiti, dia mengalami pelbagai simptom serius termasuk sakit kepala berterusan, cirit-birit dan menggigil pada waktu malam sehingga pernah pengsan dalam tandas.

“Dua hari pertama adalah paling azab. Hari seterusnya sedikit lega, tapi badan masih lemah dan tak mampu buat banyak perkara.

“Keadaan saya tak menentu, sekejap rasa okay, sekejap kembali lemah. Alhamdulillah, sekarang saya sudah pulih,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Daiyan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan sebarang tanda-tanda jangkitan serta segera mendapatkan pemeriksaan.

“Kalau dijangkiti, tolong kuarantin diri. Jangan pentingkan diri sebab virus ini sangat mudah merebak dan amat menyakitkan. Bayi dan kanak-kanak boleh menderita kalau kita tak berhati-hati,” pesannya.

Daiyan turut mengingatkan agar semua menjaga kesihatan dengan baik termasuk mengambil suplemen, minum air secukupnya, cukup rehat dan peka terhadap isyarat tubuh badan.

Related post

Leave a Reply