Kes Ugutan, Nikita Mirzani Dipenjara Empat Tahun

Kes Ugutan, Nikita Mirzani Dipenjara Empat Tahun

Selebriti Indonesia, Nikita Mirzani dihukum penjara selama empat tahun oleh Mahkamah Negeri Jakarta Selatan setelah didapati bersalah terhadap kes pemerasan terhadap usahawan kosmetik, Reza Gladys.

Dalam kes yang diputuskan pada Selasa, Hakim Kairul Saleh, mahkamah memutuskan bahawa Nikita terbukti bersalah atas tuduhan  pemerasan dan pencemaran nama baik namun tidak terbukti secara sah melakukan kesalahan pencucian wang.

“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun dan denda sebanyak satu bilion rupiah (RM290,000) kepada tertuduh. Sekiranya denda tidak dibayar, hukuman penjara akan ditambah tiga bulan,” kata Hakim Kairul.

Menariknya, Nikita dilihat gembira dengan hukuman yang diterima dan mengejutkan hadiran di dalam mahkamah apabila cuba bersalam dengan hakim selepas itu.

Hukuman itu jauh lebih ringan berbanding tuntutan pihak pendakwa raya yang menuntut 11 tahun penjara terhadap pelakon dan personaliti media sosial tersebut.

Kes wanita ini mula meledak apabila Nikita dan pembantunya, Ismail Marzuki atau Mail Syahputra, didakwa membuat ugutan terhadap Reza Gladys melalui platform media sosial dengan ancaman untuk menyebarkan kenyataan buruk mengenai produk kecantikan milik Reza sekiranya tidak diberi sejumlah wang.

Menurut keterangan pendakwa, Reza akhirnya menyerahkan wang berjumlah empat bilion rupiah (lebih RM1 juta) secara berperingkat kepada Nikita dan pembantunya sebagai ‘wang tutup mulut’.

Siasatan turut mendedahkan bahawa sebahagian daripada wang itu digunakan oleh Nikita untuk membayar ansuran rumah di kawasan Bumi Serpong Damai (BSD), Tangerang.

Bagaimanapun, mahkamah hanya menerima sebahagian pertuduhan dan membebaskan Nikita daripada dakwaan tindak pidana pencucian wang (TPPU).

Nikita yang kini berusia 38 tahun itu sedang menjalani tahanan di Penjara Wanita Pondok Bambu, Jakarta Timur, sejak 4 Mac 2025.

Related post

Leave a Reply