Rumah Tangga Abang Viva Goyah, Dakwa Sudah Bercerai
Perkahwinan pempengaruh Abang Viva dan isterinya, Eva didakwa sudah berakhir selepas lelaki itu dilihat mengesahkan perkhabaran tersebut menerusi hantaran di TikTok.
Menerusi TikTok, Abang Viva berkongsi screenshot perbualan mesej antara dia dan seorang individu yang tidak dinyatakan identitinya.
Menerusi perbualan itu, individu berkenaan meminta dia merujuk pejabat agama berkenaan masalah rumah tangga.
Selain itu, dia turut mengakui yang dirinya reda melepaskan isterinya, sungguhpun hal tersebut menyakitkan.
“Dah cerai dah pun. Tak boleh tahan, maruah kita saja yang kena pijak.
“Pesan pada hati, ikhlaskan yang sudah pergi. Memang sakit untuk dinikmati, tapi sesakit mana pun, itulah realiti. Hidup perlu diteruskan. Slow-slow kawan, kita berjuang untuk perasaan ini,” kongsinya.
Begitupun, perkongsian berkenaan dilihat telah dipadamkan daripada TikTok.
Dalam masa sama, pada perkongsian terkini, Abang Viva mendedahkan yang dia mahu mempertahankan maruah keluarga daripada dihina oleh orang yang tidak tahu tentang cerita peribadinya.
“Maaf untuk apa yang terjadi. Bukan niat mencari salah, bukan juga untuk membuka aib tapi sekadar untuk memberi rasa apa yang saya hadap atas satu kesilapan yang saya buat.
“Sehingga saya dan keluarga teruk dihina, dicaci dari pelbagai pihak tanpa mengetahui apa yang sebenarnya terjadi.
“Terlalu penat pendam, sabar dan hadap dengan kritikan yang bagai tiada penghujung. Tujuan saya hanyalah satu untuk membersihkan nama keluarga serta mak ayah. Maaf sekali lagi,” kongsinya.
Terdahulu, Eva berkongsi video memperlihatkan dia dalam keadaan sebak dan memohon ruang untuk dirinya menjalani tempoh iddah.
Pada tahun lalu, Eva pernah mendakwa Abang Viva bermesej dengan seorang wanita berstatus isteri orang.
Menerusi pendedahan itu, Eva turut mendakwa suaminya dan wanita tersebut sering bercakap buruk mengenainya di perbualan mesej antara mereka.
Untuk rekod, Abang Viva selamat mendirikan rumah tangga dengan Eva Noza pada 14 Oktober tahun lalu.
Sebagai info, Abang Viva mula dikenali ramai apabila menjadi sukarelawan banjir di Pantai Timur beberapa tahun yang lalu.