Rezeki Kamal Adli Melimpah Di Saat Rumah Tangga Bergolak
Ketika rumah tangga sedang bergolak dengan kes perceraian, rezeki pelakon, Kamal Adli, 39, terus melimpah selain kerjaya seninya berkembang positif.
Baru-baru ini, Kamal diumum sebagai wajah promosi jenama makanan popular, Pak Mat Western.
Perkhabaran itu dikongsikan sendiri oleh aktor berkenaan menerusi Instagram dengan memuat naik foto bersama kapsyen ringkas, “Juruwang baru Pak Mat Western.”
Perkara itu menerima sambutan hangat peminat yang melihatnya sebagai satu permulaan baharu buat aktor itu sekali gus membuktikan Kamal masih mampu berdiri biarpun diuji kemelut rumah tangga.
Ruangan komen pula dibanjiri sokongan moral dan doa agar Kamal terus kuat menempuh ujian.
Tidak kurang juga yang memuji ketabahan dan usaha Kamal mempertahankan rumah tangganya.
Pak Mat Western sebelum ini memang dikenali dengan konten mengetengahkan personaliti yang sedang menjadi bualan hangat, termasuk beberapa nama seperti Khairy Jamaluddin (KJ), Syukri Yahaya, Sharnaaz Ahmad dan Fattah Amin.
Sementara itu, rumah tangga Kamal dan isterinya, aktres Uqasha Senrose kini berada di ambang perpisahan selepas Uqasha memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu atas alasan tiada persefahaman.
Pasangan yang bernikah pada 4 November 2021 itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia 19 bulan.
