Hari Seniman Kebangsaan 2023 dianjur awal

KUALA LUMPUR : Selepas terhenti beberapa tahun, sambutan Hari Seniman Kebangsaan (HSK) 2023 pada 20 Mac ini dijangka meriah dengan pelbagai pengisian berteraskan matlamat meningkatkan keupayaan industri perfileman tempatan setaraf antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, antara program diatur adalah membawa pelabur dan penggiat industri perfileman luar negara berkongsi idea serta teknologi terkini dengan pengkarya tempatan.

“Kita mahu mengiktiraf seniman, budayawan dan karyawan seni serta budaya tanah air kepada pembangunan negara.

“HSK 2023 dilihat sebagai satu acara penting untuk memacu industri perfileman tempatan lebih ke hadapan,” katanya pada sidang media Hari Seniman Kebangsaan (HSK) 2023 di Studio Sound Stage, Kompleks FINAS di Hulu Klang, kelmarin.

.

Yang turut hadir, Pengerusi Bersama Sambutan HSK 2023, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar.

Md Nasir berkata, setakat ini, pembikin filem antarabangsa dari Hong Kong, China dan Korea Selatan sudah mengesahkan kehadiran pada forum berkenaan.

.

“Mereka akan berkongsi teknologi berkaitan realiti digital dalam pembikinan filem. Biarpun masih baharu, teknologi itu semakin popular di luar negara.

Prof

“Justeru FINAS mengambil langkah proaktif membawa ilmu mengenai teknologi itu kepada pembikin filem tempatan untuk dimanfaatkan,” katanya.

Md Nasir berkata, HSK 2023 berperanan seperti acara pasaran filem apabila turut mengundang pengkarya dan pelabur berpotensi dari luar negara untuk menjalin kerjasama dengan penggiat industri kreatif tempatan.

“Antara negara yang sudah bersetuju untuk hadir adalah India, Perancis, Iran, Australia, Kazakhstan, Uzbekistan dan Kyrgyzstan.

“Mesir juga menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan kita dalam konteks penghasilan filem dan pengedaran.”

“Program itu menjadi titik tolak untuk jalinan kerjasama termasuk meletakkan Malaysia sebagai lokasi penggambaran pilihan,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan HSK 2023 dibuat lebih awal berbanding tarikh tetap iaitu 22 Mac seperti diputuskan Kabinet, tahun lalu, Md Nasir berkata, perubahan itu dibuat bagi memberi laluan kepada persediaan menyambut Ramadan.

“Mungkin akan ada yang akan pulang ke kampung untuk meraikan hari pertama Ramadan bersama keluarga. Oleh itu, kami putuskan sambutan tahun ini dibuat lebih awal.

“Lagipun, tarikh itu sahaja tetamu kehormat iaitu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil tidak terikat dengan sebarang komitmen dan boleh hadir,” katanya.

Tambah menarik, HSK 2023 yang bertemakan Filem Wadah Perpaduan, Titian Keharmonian itu menerapkan elemen nostalgia dengan memberi penghargaan kepada Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang menjadi simbol kepada acara itu dianjurkan.

Md Nasir berkata, penghargaan itu diberi melalui majlis apresiasi filem yang menjadi antara pengisian berilmiah HSK 2023.

“Acara apresiasi filem kali ini sangat berbeza kerana kita akan menggunakan filem P Ramlee.

“Kita akan undang pakar dalam bidang perfileman terutama mereka yang tahu mengenai filem Allahyarham P Ramlee untuk dibincangkan.

“Kita masih mencari seniman yang mempunyai kelebihan dan serba boleh. Hingga hari ini kita masih belum jumpa dan usaha itu perlu dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Zaienal Abidin berkata, bagi memeriahkan majlis itu, tetamu digalakkan tampil dengan berpakaian ala P Ramlee dan Biduanita Allahyarham Saloma.

“Tetamu lelaki perlu bergaya seperti P Ramlee manakala tetamu wanita digalakkan memakai kebaya.

“Mereka yang tampil dengan pakaian mengikut tema akan menerima ganjaran lumayan daripada penganjur,” katanya.

HSK 2023 akan dianjurkan di Studio Sound Stage, Kompleks FINAS Hulu Klang pada 20 Mac ini. Program itu akan dimeriahkan dengan persembahan artis dari Persatuan Kebajikan Artis Legenda Malaysia seperti Shaharudin Tamby, Aspalela Abdullah, Muhaini Suratman, Zalifah Ibrahim, Shah Farid, Sabree Fadzil, Junainah M Amin, Winnie K dan ramai lagi.

Kredit Berita Harian

Related post