Ella tawar tiket konsert harga Rahmah

KUALA LUMPUR: Dari Kota Singa, Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota akan meneruskan perjalanannya ke destinasi seterusnya.

Kali ini, Ratu Rock, Ella memilih beraksi di utara tanah air, iaitu Pulau Pinang yang juga negeri kelahirannya.

Menerusi pengumuman khas dibuat, siri jelajah ketiga selepas Kuala Lumpur dan Singapura itu akan diadakan Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 28 Oktober ini.

Berkongsi pemilihan Pulau Mutiara sebagai lokasi konsert, pemilik nama sebenar, Nor Zila Aminuddin, 57, berkata, itu adalah sebahagian usaha memenuhi permintaan peminat yang tidak berkesempatan menyaksikan konsert di Kuala Lumpur, Jun lalu.

“Sempena 35 tahun dalam industri, niat saya adalah mahu semua peminat sejak awal kemunculan hingga sekarang datang lihat konsert saya.

Ella

“Saya tahu tidak semua peminat khususnya yang berada di utara tanah air dapat datang ke Kuala Lumpur pada Jun lalu.”

“Bukan sahaja untuk peminat di Pulau Pinang, mereka yang berada di utara seperti Perlis, Kedah dan Perak juga boleh datang. Saya mahu meraikan momen manis ini bersama mereka. Kiranya, ini adalah hadiah saya buat peminat.

“Faktor lain yang buat saya teringin nak adakan konsert kerana saya juga lahir di sini,” katanya pada sidang media dan juga sambutan ulang tahun kelahirannya di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di ibu kota, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai konsert kali ini, Ella berkata, ada banyak perbezaan yang bakal diketengahkan, termasuk dari segi pemilihan lagu dan reka bentuk pentas.

“Mungkin dalam 50 peratus perbezaan, termasuk dari segi pemilihan lagu yang bakal dinyanyikan. Perbezaan lain dari segi pentas kerana ia berkonsepkan 360 darjah. Pentas akan diletakkan di tengah-tengah stadium.

“Jadi, peminat boleh lihat saya dari setiap sudut. Saya sendiri ‘recce’ lokasi konsert ini,” cerita penyanyi lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah ini.

Masih mengekalkan tema ‘Rock Glam’

Masih mengekalkan tema ‘Rock Glam’, konsert yang dijangkakan berlangsung sekitar dua jam setengah akan disajikan dengan antara 25 hingga 30 lagu bergantung dengan permintaan.

Tidak berseorangan, sebaliknya konsert itu turut menampilkan seorang artis jemputan yang masih dirahsiakan identiti sebagai elemen kejutan.

“Saya kini sedang giat menjalankan sesi latihan beberapa kali seminggu dan aktiviti rutin kecergasan demi membina stamina yang jarang-jarang ditinggalkan.

“Dari segi susunan muzik pastinya ada kelainan bersesuaian dengan konsep konsert di bawah kelolaan pengarah muzik, Datuk Acis yang dilatari sembilan pemuzik profesional dan 20 penyanyi koir,” kata Ella ketika mengulas persiapan untuk konsert.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal, selaku penganjur berkata, konsert ini mempunyai keistimewaan tersendiri apabila tiket dijual dengan harga Rahmah.

“Kapasiti stadium boleh memuatkan 12,500 penonton. Lebih besar daripada Axiata Arena, tetapi, kami jual tiket dengan harga Rahmah, iaitu bermula RM78.

“Kami memilih Pulau Pinang kerana ia adalah lokasi pusat. Jadi, lebih mudah untuk peminat dari negeri berdekatan untuk datang,” katanya.

Bersesuaian nama konsert, Rohit turut memaklumkan, siri jelajah ini akan diteruskan ke negeri lain dan pengumuman mengenainya akan dibuat dari semasa ke semasa.

“Nama konsert pun Puteri Kota, jadi kita akan pergi ke negeri lain untuk menghiburkan peminat. Perancangan jelajah ke setiap negeri sudah dilakukan sejak awal dan ia akan diteruskan hingga tahun depan,” jelas Rohit.

Tiket serendah RM78 hingga RM258 boleh didapati dengan melayari laman web www.hitmanlive.com

Terdahulu, Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota menerima pengiktirafan ‘Most Concert Tickets Sold Out: 10,000 Tickets in 24 Hours’ oleh Malaysia Book of Records pada Jun lalu.

Related post