‘Pesta Raya TVS’ Saji Pengisian Menarik Sempena Hari Raya Aidilfitri

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, TV Sarawak (TVS) tampil dengan kempen istimewa Pesta Raya TVS yang menyajikan pelbagai kandungan menarik bagi memeriahkan musim perayaan tahun ini.
Diumumkan dalam satu sidang media khas, kempen ini menghimpunkan pelbagai program merangkumi hiburan, inspirasi dan nilai kekeluargaan.
Antara yang diketengahkan termasuk rancangan hiburan berskala besar, pelancaran lagu raya baharu, filem pendek bertemakan kekeluargaan, program gaya hidup serta tayangan filem istimewa sepanjang Ramadan hingga Syawal.
Program majalah Inspirasi Duniamu terus menjadi antara tunjang utama kandungan TVS dengan membawakan kisah komuniti dan inspirasi dari seluruh Malaysia serta luar negara.
Menggabungkan temu bual eksklusif dan laporan lapangan, program ini turut merangkumi pelbagai bidang termasuk hiburan, sukan dan isu semasa. Episod khas pra-Raya dijadualkan bersiaran pada 18 Mac, jam 10 malam.

Bagi sambutan Aidilfitri, program hiburan khas Pesta Raya TVS: Dari KL ke Kuching akan mengetengahkan konsep rumah terbuka yang menghubungkan kemeriahan antara dua lokasi.
Rancangan ini dihoskan oleh Ghazali Zawawi dan Sharifah Shahira, serta menampilkan persembahan artis popular seperti Aina Abdul, Mimifly, Marsha Milan, Khai Bahar dan lain-lain.
Turut memeriahkan program ialah kehadiran tokoh industri seperti Ramli M.S dan Jalaluddin Hassan. Ia akan disiarkan pada hari pertama dan kedua Aidilfitri, bermula jam 9 malam.
TVS turut memperkenalkan lagu raya baharu berjudul Raya Paling Epik yang menampilkan kolaborasi Daniesh Suffian, Mawat dan Hanif Arip. Lagu berentak pop ini membawa mesej perpaduan dan kebersamaan dalam menyambut Syawal.
Selain itu, filem pendek Gambar Raya Paling Epik turut menjadi antara sorotan utama kempen ini.

Dibintangi Atiq Azman dan Fauziah Nawi, karya ini mengangkat kisah kekeluargaan melalui perjalanan seorang remaja yang mencari makna sebenar kebahagiaan.
Program gaya hidup Istimewa Anggun: Seri Aidilfitri pula menampilkan Siti Zawawi sebagai hos, bersama tetamu jemputan seperti Mimifly, Liza Aziz dan Nabila Huda.
Program ini akan disiarkan pada 25 Mac, jam 8.30 malam, dengan pengisian berkaitan fesyen, kecantikan dan gaya sempena Aidilfitri.
Dalam masa sama, program bual bicara 3 Mak Dara kembali untuk musim kedua dengan menampilkan Raja Azura, Sharifah Shahora dan Rita Rudaini sebagai hos utama, membincangkan pelbagai topik kehidupan dan kekeluargaan dalam pendekatan santai tetapi informatif.
Bagi melengkapkan sambutan, TVS turut menayangkan pelbagai filem menarik seperti Senario The Movie Ops Pocot, Senario Asam Garam, Rompak Raya dan Perfect Raya sepanjang musim perayaan.
Secara keseluruhan, kempen Pesta Raya TVS memperlihatkan komitmen TVS dalam menyajikan kandungan berkualiti yang bukan sahaja menghiburkan, malah sarat dengan nilai kebersamaan dan kekeluargaan sempena Aidilfitri.



