Karier Solo Lisa Diangkat Dalam Dokumentari Always Lalisa

Anggota BLACKPINK, Lisa, menikmati tahun yang cukup luar biasa apabila berjaya menempa nama sebagai artis solo di luar kumpulan yang melonjakkan popularitinya. Kini, perjalanan tersebut bakal diabadikan menerusi sebuah dokumentari khas.
Sony Music Vision mengumumkan pada Isnin (20 Julai) bahawa Lisa akan menjadi subjek dokumentari penuh berjudul Always Lalisa, yang akan membuat tayangan perdana dunia dalam program gala Festival Filem Antarabangsa Toronto (TIFF) 2026, yang berlangsung dari 10 hingga 20 September depan.
Menurut sinopsis yang dikongsikan, dokumentari itu mengikuti perjalanan Lisa sepanjang tempoh penting dalam hidupnya.
“Buat pertama kali sejak zaman kanak-kanaknya, Lisa melangkah keluar daripada BLACKPINK selama setahun untuk menjalani kehidupan secara berdikari.
“Dengan masa yang semakin suntuk sebelum kembali bersama kumpulan, Lisa berdepan ketakutan dan tekanan membina kerjaya solo, menceburi bidang lakonan serta membina jenamanya sendiri, sambil berusaha mengekalkan kehidupan peribadi di sebalik perhatian dunia,” tulis sipnosis berkenaan.
Setakat ini, tiada maklumat lanjut didedahkan mengenai tarikh tayangan rasmi di pawagam atau platform penstriman.
Sepanjang tempoh setahun itu, Lisa mencipta pelbagai pencapaian besar sebagai penyanyi solo.
.
Antaranya, dia dijemput untuk menjayakan persembahan menyanyikan lagu Goals bersama Anitta dan Rema pada majlis pembukaan Piala Dunia FIFA 2026, selain mengadakan persembahan solo di Festival Coachella 2025.
Lisa juga menghiasi muka depan majalah Vanity Fair edisi musim panas 2026, menjadi artis K-Pop pertama dilantik sebagai ahli jawatankuasa hos Met Gala, serta membuat penampilan sulung sebagai pelakon menerusi drama popular HBO, The White Lotus.
Selain itu, Lisa turut membintangi serta bertindak sebagai penerbit eksekutif bagi dua projek Netflix, iaitu filem aksi TYGO dan sebuah filem komedi romantik yang masih belum diumumkan judulnya, diinspirasikan daripada filem Notting Hill.
Lisa juga bakal mengadakan empat konsert eksklusif yang telah habis dijual menerusi residensi VIVA LA LISA di The Colosseum at Caesars Palace, Las Vegas pada 13 hingga 14 November serta 27 hingga 28 November depan.
Dokumentari Always Lalisa diarahkan oleh Sue Kim dan diterbitkan oleh Sony Music Vision dengan kerjasama RCA Records, Tremolo Productions, Salt Water Productions dan LLOUD Co.
Dalam perkembangan lain, Lisa turut mendedahkan yang dia sedang menyiapkan album solo kedua sebagai susulan kepada album sulung Alter Ego.



