Lensa Skrin

Fikry Ibrahim Ucap Selamat Tinggal Kepada Melodi

Pengacara dan pelakon Fikry Ibrahim, 32, mengucapkan selamat tinggal kepada program hiburan Melodi selepas hampir dua tahun menjadi pengemudi rancangan berkenaan.

Kemunculan Fikry dalam siaran Melodi malam Khamis menjadi penampilan terakhirnya apabila dia mengumumkan pengunduran tersebut pada penghujung program.

Menerusi ucapan ringkas, Fikry merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Melodi serta penonton yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang dia menggalas tanggungjawab sebagai pengacara sejak 2024.

“Terima kasih keluarga Melodi. Ini adalah kali terakhir saya bersama Melodi. Untuk anda di rumah, teruskan menonton Melodi.

“Setiap kali saya datang ke Melodi, di sebalik masalah atau penat, program ini menjadi ruang untuk saya gembirakan diri,” katanya.

Walaupun mengesahkan pengundurannya, Fikry tidak mendedahkan punca dia memilih untuk menamatkan khidmat bersama program hiburan popular itu.

Dalam pada itu, rakan pengacaranya, Ain Edruce mengakui sedih dengan pemergian Fikry yang disifatkannya sebagai rakan gandingan yang cukup mudah memberikan kerjasama sepanjang mereka mengendalikan rancangan tersebut.

Menurut Ain, keserasian mereka di hadapan kamera banyak membantu melancarkan perjalanan program selain menyifatkan Fikry sebagai individu yang profesional ketika bekerja.

Untuk rekod, Melodi yang mula bersiaran pada 1993 kekal sebagai antara program hiburan paling lama bertahan di Malaysia dan telah menyaksikan pertukaran beberapa pengacara mengikut peredaran masa.

Antara selebriti yang pernah mengemudi program itu ialah Haziq Hussni, Nabila Huda, Janna Nick dan Ajak Shiro.

Related Articles

Back to top button