Pelakon Gerak Khas 2.0, Tisha Shamsir Mengaku Tak Bersalah Atas Pertuduhan Ambil Dadah

Pelakon drama Gerak Khas 2.0, Tisha Shamsir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat atas pertuduhan menggunakan tiga jenis dadah yang didakwa berlaku awal minggu ini.
Tisha atau nama sebenarnya Shanorbiah Shamsir Alam, 40, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Berdasarkan pertuduhan, hasil ujian air kencing mendapati tertuduh didakwa telah menggunakan dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tandas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 7.30 pagi, 7 Julai lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman di bawah seksyen sama.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurainna Maryam Norazman memohon jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Nik Azhar Nik Adib yang mewakili tertuduh menerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan ibu tunggal yang perlu menyara kedua-dua ibu bapanya yang sudah lanjut usia.
Menurut Nik, Tisha turut memberikan kerjasama sepanjang siasatan dan hadir sendiri ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan selepas sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis.
Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, pelakon itu ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di ibu negara bersama beberapa individu lain selepas disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah seperti dilaporkan Kosmo.
Dalam perkembangan berkaitan, penerbit drama Gerak Khas 2.0 merangkap pemilik Skop Production, Datuk Yusof Haslam menegaskan syarikatnya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pelakon yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Yusof juga memaklumkan pelakon terbabit telah digugurkan daripada produksi serta-merta, meskipun penggambaran drama itu hanya berbaki dua episod sebelum tamat.



