Berita

Adira Belum Fikir Kahwin Selagi Kes Lafaz Rujuk Dengan Datuk Red Belum Selesai

Penyanyi Adira Suhaimi, 34, belum bersedia memikirkan soal mendirikan rumah tangga semula selagi kemelut pengesahan lafaz rujuk membabitkan dirinya dan bekas suami, Datuk Red, belum selesai di mahkamah.

Menurut Adira, keutamaannya kini adalah memberi sepenuh perhatian terhadap prosiding yang masih berjalan sebelum membuat sebarang perancangan mengenai kehidupan peribadi.

“Macam mana saya nak kahwin? Kes lafaz rujuk pun belum selesai lagi. Mudah untuk dia berkahwin kan? Saya nak kahwin susah.

“Macam mana kita nak rancang kalau perkara ini tak selesai lagi? Beri masa untuk saya selesaikan dulu. Kalau ada, insya-Allah,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan sedang mengenali seseorang, Adira memilih untuk mengunci mulut buat masa ini dan hanya akan berkongsi mengenai perkara tersebut selepas urusan mahkamah selesai.

“Tak apa, saya akan cerita semua benda ini selepas hal ehwal mahkamah selesai, insya-Allah.

“Saya nak fokus untuk selesai dahulu kes rujuk ini. Kemudian baru saya boleh buka semua cerita,” ujarnya.

Sementara itu, Hakim Tuan ’Afif Sofiuddin Syeikh Abd Ghani menetapkan 3 September depan sebagai tarikh prosiding sambungan keterangan defendan, iaitu Adira bagi kes pengesahan lafaz rujuk yang difailkan plaintif, Datuk Red.

Prosiding yang berlangsung hampir dua jam bermula pukul 11 pagi itu dijalankan secara tertutup. Adira hadir memberikan keterangan, manakala Datuk Red tidak dapat menghadirkan diri atas urusan peribadi.

Sebelum ini, Datuk Red menerusi permohonan yang difailkan pada 18 Disember tahun lalu mendakwa berlaku lafaz rujuk pada Mei 2024 ketika tempoh iddah selepas perceraian, namun Adira tidak mengesahkan dakwaan tersebut.

Malah, penyanyi itu sebelum ini mengakui terkejut dengan tindakan bekas suaminya memfailkan permohonan berkenaan dan menegaskan dia tidak mengetahui mengenai dakwaan wujudnya lafaz rujuk tersebut.

Untuk rekod, Adira dan Datuk Red berkahwin pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum bercerai pada 24 April 2024.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, Asan, Anggun dan Ayob.

Related Articles

Back to top button