Gaya Hidup

Adik Nak Keluarkan KWSP Ibu Demi Ubah Suai Rumah, Abang Minta Pandangan Netizen

Menyimpan wang untuk persaraan amat penting kerana ia menjadi sumber kewangan apabila seseorang tidak lagi mampu bekerja akibat faktor usia atau masalah kesihatan.

Seorang lelaki meluahkan kebimbangannya selepas mengetahui adiknya bercadang menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik ibu mereka bagi tujuan peribadi.

Menerusi satu perkongsian tanpa nama di Facebook, lelaki itu berkata, adiknya sedang memujuk ibu mereka supaya mengeluarkan wang daripada simpanan KWSP hasil titik peluhnya untuk membiayai kerja-kerja pengubahsuaian rumah keluarga.

Menurut lelaki itu, ibu bapanya bukanlah orang berada dan telah bekerja keras sepanjang hayat demi memastikan mereka mempunyai simpanan KWSP yang mencukupi untuk persaraan.

Lelaki itu berkata, adiknya mahu membina bilik tidur yang lebih besar untuk dirinya selain menambah sebuah lagi bilik yang dirancang untuk dijadikan bilik permainan (gaming room).

“Dia tahu ibu bapa kami memang mengimpikan cucu, jadi dia menggunakan perkara itu untuk memujuk mereka dengan mengatakan bilik tambahan itu nanti akan digunakan oleh isteri dan anak-anaknya selepas dia berkahwin.

“Tetapi sejujurnya, melihat kepada kebanyakan wanita pada masa kini, mereka mungkin lebih gemar tinggal berasingan daripada ibu bapa mentua selepas berkahwin,” katanya.

Menurutnya lagi, perkara yang lebih mengelirukan ialah adiknya sebenarnya sudah memiliki sebuah kondominium yang dihadiahkan oleh datuk mereka sebelum meninggal dunia.

Namun, si adik didakwa menyewakan kondominium tersebut bagi menjana pendapatan tambahan, namun masih tinggal bersama keluarga di rumah teres.

“Secara objektif, kedudukan kewangan adik saya sebenarnya baik. Sebab itu saya rasa tidak wajar jika dia mahu menggunakan wang KWSP ibu kami semata-mata untuk membina bilik tidur dan bilik permainan kerana wang itu sepatutnya digunakan untuk persaraan ibu.

“Dalam masa yang sama, saya juga tertanya-tanya sama ada saya terlalu berhati-hati atau terlalu memikirkan perkara ini,” tulisnya sambil meminta pandangan netizen.

Di ruangan komen, kebanyakan netizen membantah cadangan adiknya menggunakan simpanan KWSP ibu mereka dan menyifatkan tindakan itu sebagai mementingkan diri sendiri.

Ada juga yang berpendapat kisah tersebut wajar dijadikan pengajaran kepada ibu bapa agar tidak terlalu memanjakan anak-anak kerana sikap itu boleh membawa lebih banyak keburukan kepada kedua-dua pihak pada masa hadapan.

Related Articles

Back to top button