Lensa Skrin

Pelakon Veteran Jual Hak Wajah Kepada AI, Tak Perlu Berlakon Tapi Tetap Terima Bayaran

Bekas pelakon TVB, Lawrence Ng, kini menerima teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada kerjayanya.

Pelakon berusia 62 tahun itu melesenkan hak penggunaan rupa wajahnya kepada sebuah syarikat produksi yang menggunakan AI untuk menghasilkan semula versi dirinya ketika berusia 20 tahun bagi sebuah filem cereka.

Menurut Ng, dia langsung tidak perlu hadir ke lokasi penggambaran.

Ketika menghadiri acara promosi drama jenayah terbaharunya, Deadly Sins, Ng berkata dia sudah pun menonton filem yang dihasilkan menggunakan AI itu.

“Mereka menggunakan rupa saya ketika berusia 20 tahun untuk menghasilkan sebuah filem. Saya langsung tidak perlu menjalani sebarang penggambaran.

“Saya sudah menonton hasil akhirnya dan saya sangat berpuas hati,” katanya.

Ng berkata projek itu turut memberinya peluang untuk merasai semula bagaimana rasanya menjadi hero utama.

Ketika ada segelintir pelakon bimbang AI akan menggantikan manusia dalam industri lakonan, Ng pula melihat teknologi itu sebagai satu peluang.

Dia mendedahkan perjanjian tersebut dilindungi oleh kontrak yang komprehensif, sekali gus memberinya keyakinan bahawa rupa wajahnya tidak akan disalahgunakan.

Pelakon popular Hong Kong itu turut mengakui bayaran yang diterimanya agak lumayan.

Apabila ditanya sama ada AI akan menjejaskan peluang pekerjaan pelakon, Ng berpendapat teknologi itu sebenarnya membuka satu lagi laluan kerjaya.

Berseloroh mengenai kemungkinan pada masa depan, beliau berkata: “Nanti saya hanya perlu duduk diam tanpa perlu berlakon pun kerja tetap siap. Walaupun kaki saya patah sekali pun, saya tak perlu risau,” tuturnya.

Ng turut percaya persembahan lakonan yang dijana AI dan lakonan tradisional boleh wujud seiring, malah kewujudan satu lagi kaedah bekerja itu akhirnya mampu memberi manfaat kepada industri hiburan.

Related Articles

Back to top button