Lagu BaharuMusic

Penyucian Jiwa Black Hanifah

Rasa rindu dan mahu mencari ketenangan jiwa sempena kehadiran Ramadan sebetulnya menjadi tunjang utama kepada karya Hadirmu Ramadhan.

Kehadiran bulan penuh pengampunan ini biasanya dijadikan ruang untuk manusia kembali memperbaiki diri selain membina hubungan yang lebih dekat dengan Tuhan.

Bagi Black Hanifah selaku penyanyi lagu ini, ada sesuatu yang begitu istimewa mengenai karya ini sementelah dia juga bertindak sebagai komposer dan penulis lirik bersama.

Menggunakan nama pena Nyawablack, Hazama juga terlibat dalam memberikan idea dan bertindak sebagai penulis lirik bersama dengan nama Kadok.

“Lagu ini sebetulnya bersifat reflektif, lembut dan penuh pengharapan. Sebagai manusia ia sesuai untuk didengari sebagai satu peringatan halus tentang makna sebenar Ramadan, bukan sekadar sebagai bulan perayaan tetapi bulan muhasabah dan penyucian jiwa.

“Inspirasi utama Hadirmu Ramadhan tercetus daripada suasana Ramadan itu sendiri. Ada kala kita terkenangkan malam-malam yang sunyi, doa yang dipenuhi kesyahduan serta rasa rindu yang hadir setiap kali bulan mulia ini menjelma,” kata Black.

Mengulas lanjut mengenai karya ini lagi, semua ini terhasil melalui pengalaman peribadi Black melihat bagaimana Ramadan mampu melembutkan hati manusia walaupun hanya seketika, namun tetap meninggalkan kesan yang mendalam dan penuh makna.

Proses penulisan lagu ini bermula dengan melodi yang menenangkan sebelum lirik dibentuk secara berperingkat. Setiap bait lirik disusun dengan teliti agar mesej yang ingin disampaikan dapat dirasai dengan jujur dan tidak berlebihan.

Lirik lagu ini digambarkan sebagai dialog seorang insan dengan Tuhan yang terlahir daripada suara hati yang penuh keinsafan dan kejujuran.

Antara cabaran utama dalam penghasilan lagu ini adalah memastikan mesej yang ingin disampaikan kekal relevan dan tidak klise memandangkan lagu bertemakan Ramadan sering terdedah kepada pengulangan tema.

“Saya rasa cabaran terbesar adalah untuk menyampaikan mesej kepada pendengar tanpa terasa terlalu berat atau terlalu ringan.

“Sebetulnya idea untuk menghasilkan lagu ini sudah tercetus sejak setahun yang lalu. Hanya pada tahun ini barulah ia dapat direalisasikan sepenuhnya,” tambahnya lagi.

Hadirmu Ramadhan dilancarkan secara rasmi pada 24 Februari lalu di semua platform penstirman digital manakala muzik vidoe pula ditayangkan menerusi YouTube Nova Music.

Related Articles

Back to top button