BeritaTrending

‘Ramadan Paling Perit Sepanjang Hidup’

Pelakon, Amyza Aznan, 50, menyifatkan Ramadan tahun ini sebagai detik paling menyakitkan dalam hidupnya sepanjang lebih lima dekad apabila diuji dengan dugaan bertimpa-timpa membabitkan dua anak tersayang.

Menurut Amyza, ujian yang hadir kali ini jauh lebih berat berbanding tahun lalu. Jika sebelum ini hanya anak sulungnya disahkan menghidap kanser, tahun ini dia terpaksa menerima kenyataan lebih memilukan apabila kehilangan anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail, selain anak keduanya turut disahkan menghidap kanser tulang.

“Memang sangat perit. Tahun lalu hanya Andre disahkan kanser. Tahun ini Adrian pula diuji dengan penyakit lain dan dalam masa sama Andre meninggalkan saya. Sebagai ibu, dugaan ini terlalu berat. Ramadan paling perit sepanjang hidup. Sangat menyakitkan,” katanya.

Dalam pada itu, Amyza turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat berada di sisi arwah ketika anaknya menghembuskan nafas terakhir pada malam Isnin.

Bagaimanapun, di sebalik kepedihan yang dirasai, Amyza tetap memanjatkan rasa syukur kerana segala urusan pengebumian dipermudahkan.

“Alhamdulillah, semua urusan hari ini sangat mudah. Saya anggap ini rezeki Andre. Doa dan sokongan hadir dari pelbagai sudut.

“Tetapi saya ralat kerana tiada di sisi ketika dia pergi. Andre menghembuskan nafas terakhir sewaktu saya pulang ke rumah untuk membersihkan diri.

“Sebaik selesai mandi, saya terima panggilan memaklumkan paras oksigennya menurun. Sudah tentu sebagai ibu, saya mahu berada di situ, namun tidak kesampaian,” ujarnya.

Amyza bagaimanapun percaya, arwah seakan-akan memahami perasaannya sebagai seorang ibu memandangkan hubungan mereka yang terlalu rapat sejak sekian lama.

“Mungkin dia tahu saya terlalu bergantung padanya. Kami bersama hampir 24 jam. Barangkali dia tidak mahu saya menyaksikan detik itu kerana bimbang saya tidak kuat menerima kenyataan,” katanya lagi.

Terdahulu, jenazah Andre selamat dikebumikan sekitar pukul 10.45 pagi selepas disolatkan di Masjid Al Khairiah Keramat AU3.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.15 malam di Hospital Kuala Lumpur selepas lebih setahun bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga.

Related Articles

Back to top button