Peminat Indonesia DM, Ajak Walid Kahwin

Lakonan mantap Faizal Hussein menerusi karakter Walid dalam drama Bidaah ternyata memberi kesan luar biasa apabila watak itu mencetuskan fenomena hingga meraih perhatian penonton di Indonesia.
Menurut Faizal atau nama sebenarnya Mohd Faizal Hussein, populariti watak tersebut menyebabkan dirinya menerima pelbagai mesej peribadi, termasuk daripada peminat wanita yang secara terbuka menyuarakan hasrat untuk bergelar isterinya di dunia nyata.
“Yang mesej mahu berkahwin itu kebanyakannya dari Indonesia. Ada juga yang menganggap saya benar-benar Walid sampai minta saya doakan mereka. Ada yang bergurau, ada juga yang nampak serius. Tapi saya hanya baca sahaja, tidak membalas,” katanya.
Dalam pada itu, Faizal bersyukur kerana isterinya, Suhaila Sulaiman, memahami situasi yang berlaku dan tidak terganggu dengan perhatian luar biasa diterimanya.
Malah, Suhaila juga memberi kepercayaan penuh terhadap komitmen Faizal sebagai anak seni, termasuk membabitkan watak berunsur romantik.
“Isteri saya sangat memahami. Dia tahu realiti dunia lakonan dan jenis yang ‘sporting’. Boleh kata saya sudah dapat keizinan sepenuhnya daripada dia.
“Sebelum terima mana-mana watak yang ada adegan pelukan atau romantis, saya tetap berbincang dengannya dulu,” jelasnya.
Tambah Faizal, drama Bidaah juga membuka ruang baharu apabila namanya semakin dikenali dalam kalangan penonton muda, khususnya di luar negara.
“Bila watak Walid popular di Indonesia, mereka mula mencari siapa pelakon sebenar. Ada yang pada mulanya tidak suka, tetapi selepas kenal saya.
“Jumlah pengikut di media sosial pun meningkat. Akaun anak-anak saya pun turut bertambah pengikut,” katanya sambil bersyukur.
Faizal turut menyifatkan impak watak Walid sebagai satu kejayaan bermakna, apatah lagi apabila mesej yang cuba disampaikan melalui drama itu turut memberi kesedaran kepada masyarakat.
“Itu sebenarnya tujuan saya, selain berlakon, saya mahu berdakwah melalui kerja seni,” ujarnya lagi.
Drama Walid yang merupakan kesinambungan kepada Bidaah turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Vanidah Imran, Aqasha, Olla Ramlan dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar. Arahan Pali Yahya itu bakal menemui penonton secara eksklusif di Viu bermula 26 Februari 2026.



