BeritaViral

Pekerja Asing Dakwa Sekolah Memandu Di KL ‘Penipu’, Kongsi Pengalaman Buruk di Reddit

Sebelum memperoleh lesen memandu, setiap individu perlu menjalani beberapa jam latihan di sekolah memandu serta dibimbing oleh jurulatih bagi memastikan pemanduan dilakukan dengan selamat demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

Namun begitu, tidak semua sekolah memandu mengambil tanggungjawab ini dengan serius, seperti yang dialami sendiri oleh seorang pekerja asing dari Amerika Syarikat (AS) yang menetap di Kuala Lumpur.

Dalam satu hantaran di Reddit, individu berkenaan menceritakan pengalaman buruknya di sebuah sekolah memandu di KL yang tidak dinamakan, yang disifatkannya sebagai satu ‘mimpi ngeri birokrasi’, selain membuatkannya merasakan sekolah memandu di negara ini sebagai satu penipuan.

Dia yang menggambarkan dirinya sebagai seorang pemandu berpengalaman, mendakwa jurulatih di sekolah memandu itu hampir tidak memberikan latihan sebenar. Sebaliknya, jurulatih hanya berdiri di tepi jalan sambil merokok dan memerhatikannya memandu berpusing-pusing tanpa arah selama empat jam.

Dia secara sinis menambah, satu-satunya bentuk latihan yang diberikan hanyalah penyerahan jadual pembayaran.

“Janji temu dijarakkan berbulan-bulan dan langsung tiada penekanan terhadap undang-undang lalu lintas atau pemanduan defensif,” tambahnya.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila dia mendakwa peralatan yang disediakan oleh sekolah memandu tersebut berada dalam keadaan yang sangat daif dan tidak akan lulus pemeriksaan asas.

“Peralatan mereka memang tidak masuk akal. Tayar motosikal yang saya gunakan untuk latihan kempis dan lampu rendahnya rosak. Hon hampir tidak berfungsi dan jurulatih menyuruh saya kekal menggunakan gear kedua sepanjang masa.

“Menghantar pelajar memandu menggunakan kenderaan yang tidak selamat seperti ‘perangkap maut’ ini bukan sekadar penipuan, malah satu liabiliti besar!” luahnya.

Susulan itu, individu berkenaan turut mengemukakan beberapa cadangan bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan memastikan pemandu yang lebih kompeten dapat dilahirkan, antaranya:

-Membenarkan pemegang lesen CDL melatih pemegang lesen LDL bagi latihan litar dan pemanduan jalan raya
-Menjadikan proses pelesenan lebih mudah diakses
-Memperketat pematuhan dan pemantauan terhadap calon pemandu
-Memastikan sesi latihan dikendalikan oleh jurulatih yang benar-benar komited

Di ruangan komen, beberapa netizen bersetuju dengan pandangan ekspatriat tersebut dan turut melabelkan sekolah memandu sebagai satu ‘skim’.

Seorang netizen turut mendakwa masalah ini berpunca daripada amalan lama di mana calon pemandu memberi rasuah kepada pegawai bagi meluluskan ujian memandu, satu isu yang dikatakan telah berlarutan selama beberapa dekad.

Related Articles

Back to top button