Pelawak Ronnie Cheng Lepaskan Kewarganegaraan Malaysia, Kini Bergelar Rakyat AS
Ronnie Cheng, pelawak dari Johor yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) telah melepaskan kewarganegaraan Malaysia apabila dikhabarkan telah menerima kerakyataan dari negara berkenaan.
Hal itu didedahkan ketika aktor Bill Murray muncul membuat kejutan dalam program The Daily Show yang dikendalikannya.
Dalam satu klip video yang viral di media sosial, Ronnie dilihat teruja sebaik melihat Bill memasuki set rakaman.
“Mereka maklumkan anda sangat gembira hari ini selepas dapat tahu yang anda sudah mendapat kerakyatan Amerika Syarikat,” kata Bill kepada Ronnie.
Ronnie kemudian mengesahkan perkara berkenaan.
“Memang pengalaman yang sangat gila apabila anda dapat kerakyatan AS pada hari sama anda sepatutnya menemu bual Bill Murray. Ini hari yang panjang.
“Saya perlu pergi ke soal jawab, mereka tanya macam 100 soalan, saya jamin anda boleh jawab soalan diberikan. Saya perlu ingat berapa koloni, nama negeri serta Presiden sekarang. Sangat susah,” ujarnya.
Ronnie yang juga bekas penyampai radio itu dilahirkan di Johor tetapi dibesarkan dan bersekolah di Singapura.
Dia mencipta nama sebagai pelawak di peringkat global dan mengadakan siri jelajah komedi di Australia, New Zealand, Singapura, Hong Kong, India, Kanada serta London.
Ronnie yang menyambung pengajian di Australia kemudian berpindah ke New York dan memulakan kerjaya sebagai wartawan untuk rancangan The Daily Show With Trevor Noah.
Nama Ronnie semakin dikenali selepas dia muncul menerusi program Netflix berjudul Asian Comedian Destroys America. Selain itu, dia juga membintangi filem Crazy Rich Asians.
US Citizenship and Immigration Services memberi kebenaran kepada individu memegang dua kerakyatan mengikut syarat tertentu di bawah akta Immigration and Nationality Act.
Bagi rakyat Malaysia, mereka yang memilih menjadi warganegara AS perlu melepaskan kerakyatan negara ini.