Mr. E Sudah Jumpa Ibu Erra
Tiada apa lagi yang ingin disembunyikan, pelakon, Erra Fazira, 51, mendedahkan bahawa kekasihnya iaitu Ezwan Zain sudah berjumpa dengan ibunya.
Menurut pemilik nama sebenar Fazira Wan Chek, dia juga sudah bertemu dengan ahli keluarga terdekat lelaki itu.
Bagaimanapun, mereka tidak mahu terburu-buru membuat keputusan dan mengakui masih di fasa mengenal hati budi lebih dalam.
“Dia sudah berjumpa dengan mama dan saya juga sudah berjumpa dengan ahli keluarga terdekatnya.
“Kami tidak mahu terburu-buru, kami di fasa masih ingin mengenali hati budi masing-masing dan mahu melihat keserasian antara kami.
“Belum setahun pun kami berkenalan, saya dan dia mula rapat sejak Ogos tahun lalu. Kalau nak cakap fasal fasa seterusnya, saya tak berani untuk ulas lebih,” kongsinya menerusi Podcast Syok.
Dilihat semakin terbuka berkongsi kearkaban dengan Ezwan atau mesra disapa Mr.E, bintang filem Soal Hati itu berkata, dirinya kini semakin tenang dan matang mengawal keadaan seiring dengan usia.
“Saya sekarang lebih matang untuk kawal situasi termasuk hubungan dengan dia. Kalau dulu saya sangat gelabah apatah lagi kalau soal percintaan.
“Sekarang ini semakin berusia, tiada apa yang perlu disembunyikan. Saya juga berhak hidup normal macam orang lain.
“Dulu kalau keluar ‘dating’ kena pergi tempat privasi, sekarang tidak perlu. Malah, pertama kali jumpa dia, kami berdua pergi makan dengan Kampung Baru,” tuturnya lagi.