Mother Bhumi Menang Besar Di Golden Horse Awards, Fan Bingbing Puji Kru Malaysia

Mother Bhumi Menang Besar Di Golden Horse Awards, Fan Bingbing Puji Kru Malaysia

Anugerah Golden Horse Ke-62 berakhir di Taipei dengan filem Malaysia, Mother Bhumi, membawa pulang tiga anugerah utama.

Fan Bingbing dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik melalui peranannya dalam filem itu, sementara filem tersebut turut memenangi kategori Lagu Asal Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Mother Bhumi, arahan pembikin filem Malaysia Chong Keat Aun, muncul antara pemenang terbesar malam tersebut.

Pencapaian filem itu menyerlahkan kekuatan dan kreativiti sinema Malaysia-Cina, sekali gus menarik perhatian serantau dan antarabangsa.

Memuat naik satu hantaran di Facebook, Fan Bingbing berkongsi ucapan penuh emosi tentang pengalamannya menjalani penggambaran di Kedah, Malaysia.

Dia berkata, merenung foto empat trofi Golden Horse yang dihantar oleh Chong Keat Aun untuk tempoh yang lama, sambil kenangan penggambaran kembali bermain di fikiran.

“Kru sangat profesional, berdisiplin, namun penuh dengan kehangatan. Ruang kreatifnya tenang dan penuh rasa hormat,” tulisnya.

Fan Bingbing memuji kru Malaysia yang terlibat dalam pembikinan Mother Bhumi.

Fan Bingbing memuji gaya pengarahan Chong Keat Aun yang tenang dan penuh kesabaran, menyatakan bahawa beliau tidak pernah meninggikan suara atau tergesa-gesa mendesak sesiapa.

Dia juga menggambarkan Chong sebagai pengkritik filem yang sangat berpengetahuan, yang berbicara tentang sinema Cina dengan penuh semangat, merujuk karya seperti A Touch of Zen dan The Blue Kite.

“Dia memegang hati yang tulus dan penuh hormat terhadap seni perfileman. Dedikasinya membuatkan saya mempercayai dan mengaguminya sepenuhnya,” tambahnya.

Walaupun penggambaran dijalankan dalam keadaan mencabar, Fan Bingbing berkata, kru Malaysia sentiasa bekerja dengan senyuman dan dedikasi.

Pelakon itu menyanjung usaha mereka yang berjaya menghidupkan Mother Bhumi dan membuat dunia menyedari keteguhan pembikin filem berbahasa Cina dari Malaysia.

“Kamu semua merealisasikan filem Malaysia yang hebat ini. Kamu mencipta sebuah keajaiban,” tulisnya lagi.

Fan Bingbing berkata, setiap hari bersama pasukan itu menjadi memori yang sangat berharga.

Dia juga menggambarkan pelangi di langit Kedah sebagai pemandangan tercantik di hatinya.

“Saya sayang kamu semua banyak-banyak!” tulisnya dengan penuh kehangatan.

Related post

Leave a Reply