“Malu Nak Cerita, Saya Pernah Duduk Flat”

Penyanyi, Syasya Rizal, 25, berkongsi kisah peribadi apabila mengakui pernah menyimpan rasa segan untuk menceritakan latar kehidupannya yang membesar di rumah flat bersama nenek tersayang.
Pemilik nama penuh Norsyasya Afiqah Shahrizal, memuat naik sebuah video yang merakamkan detik kepulangannya ke rumah neneknya bersama suami, sekali gus mengimbau memori lama yang sarat dengan emosi.
“Dulu saya pernah malu nak cerita yang saya dulu duduk pernah flat dengan opah. Hari ni saya balik semula bawa suami, bawa kenangan dan bawa rasa bangga jadi anak yang dibesarkan dengan cinta yang sederhana,” tulisnya dalam sebuah hantaran.
Menurut Syasya, kepulangan ke flat lama yang terletak di tengah bandar Kuala Lumpur itu membangkitkan pelbagai kenangan sewaktu dia melalui fasa membesar dan mengenal erti kehidupan.
“Sebenarnya saya pulang nak ambil baju kurung lama di sini. Tetapi entahlah, rasa emosi sedikit. Lama betul saya tak jejakkan kaki ke rumah opah,” kongsinya lagi.
Katanya, suasana di situ seolah-olah tidak berubah, malah setiap sudut membawa dirinya kembali kepada versi lama yang pernah melalui kehidupan serba sederhana.
“Naik lif lama yang bunyinya masih sama. Setiap tingkat terasa seperti membawa balik saya ke versi yang dulu. Di sinilah saya belajar menjadi kuat dan hidup sederhana.
“Waktu opah buka almari lama, bau kain, penyangkut baju, lipatan opah semuanya masih sama,” ujarnya.
Dalam perkongsian sama, Syasya turut menitipkan pesanan opahnya yang disifatkan sebagai peringatan paling bermakna tentang kehidupan.
“Opah cuma senyum dan pesan perlahan, hidup ini bukan tentang apa yang kita ada, tetapi siapa yang ada waktu kita tiada apa.
“Ayat itu ringkas sahaja, tetapi entah kenapa rasa berat di hati ini. Kalau saya yang dulu berangan nak jadi seorang dan rasa hidup tak pernah cukup, Ramadan ini saya baru sedar yang sederhana itulah yang paling ikhlas,” luahnya.



