Ayda Jebat Jahit Semula Luka Bersalin

Pengacara, Nabil Mahir berkongsi keadaan terkini isterinya yang juga penyanyi, Ayda Jebat apabila terpaksa menjalani prosedur menjahit semula luka pembedahan selepas melahirkan anak ketiga mereka.
Menurut Nabil, jahitan tersebut pada awalnya tidak memerlukan prosedur tambahan kerana proses penyembuhan berjalan dengan baik.
Namun, keadaan berubah apabila terdapat sedikit ‘kebocoran’ sehingga menyebabkan luka berkenaan bernanah dan perlu dirawat semula di hospital.
Jelasnya, keputusan untuk menjahit semula dibuat selepas doktor dimaklumkan Ayda tetap mahu menghadiri acara Celebfest Singapore pada Jumaat ini.
“Kalau nak pergi, kena jahit. Itu yang doktor beritahu selepas dimaklumkan Ayda tetap berkeras untuk terbang ke Singapura.
“Pada awalnya, doktor sudah maklumkan tak perlu dijahit semula sebab luka tersebut sedang sembuh dengan baik.
“Namun, dia sudah berjanji untuk bertemu semua orang di Singapura dan memilih untuk menahan sakit semata-mata mahu memastikan dia tetap hadir sebab baginya, peminat paling utama,” katanya dalam sebuah hantaran.
Sebagai suami, Nabil mengakui hatinya tersentuh melihat kesungguhan Ayda yang masih dalam tempoh pemulihan namun sanggup berkorban demi memenuhi janji kepada peminat.
“Hati saya terluka melihat pergerakannya. Dia masih dalam proses sembuh dan perlu menahan sakit. Walaupun adakalanya dia tidak mengadu, tetapi saya tahu.
“Saya melihat kekuatan di sebalik senyuman, pengorbanan yang orang tidak nampak dan inilah wanita yang saya kagumi,” luahnya lagi.
Dalam masa sama, Nabil berharap orang ramai yang bakal bertemu Ayda di acara tersebut dapat memahami keadaan kesihatannya dan melayan penyanyi itu dengan lebih berhati-hati.
“Jika anda hadir, harap dapat layan dengan lebih lembut. Dia melakukan semua ini dengan tubuh yang masih sembuh sepenuhnya dan semangat yang kuat,” pesannya.
Terdahulu, Nabil memaklumkan Ayda mengalami komplikasi kecil pada bahagian jahitan di perut selepas melahirkan cahaya mata ketiga mereka, Anggun Mikayla pada 26 Januari lalu.
Bahagian jahitan itu dilaporkan sedikit terbuka dan bernanah sehingga memerlukan rawatan lanjut di hospital bagi membersihkannya.
Untuk rekod, Nabil dan Ayda mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021 dan kini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ana Nayla, Aali Mateen dan Anggun Mikayla.



