Baby Shima Nafi Lagu ‘Masuk Lagi’ Berunsur Lucah

Lama mengunci mulut, penyanyi dangdut, Baby Shima akhirnya tampil memberikan penjelasan berhubung kontroversi lirik lagu Masuk Lagi yang sebelum ini didakwa berunsur lucah.
Pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli, berkata, dia bukan sengaja mengelak daripada isu tersebut, sebaliknya memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu keadaan menjadi lebih tegang ketika kontroversi itu sedang hangat diperkatakan.
“Kalau bersuara ketika isu tengah panas, orang akan bertambah tak suka. Jadi saya memilih untuk beri keadaan reda dulu.
“Lagipun ketika itu dah hampir memasuki bulan Ramadan, jadi saya tak nak keruhkan lagi keadaan,” katanya.
Mengulas dakwaan kononnya lagu Masuk Lagi membawa maksud tersirat berunsur lucah, Shima menegaskan tuduhan tersebut tidak berasas dan berpunca daripada salah faham terhadap lirik lagu berkenaan.
Jelasnya, lagu itu sebenarnya mengisahkan perjalanan seorang lelaki bersama rombongan untuk masuk meminang, bukannya mempunyai ‘double meaning’ seperti yang diperkatakan.
“Lirik lagu Masuk Lagi sebenarnya menceritakan perjalanan seseorang menuju ke rumah seseorang untuk masuk meminang.
“Liriknya berbunyi, ‘masuk jalan elok-elok sayang, sudah lama dinda seorang, rombonganmu ingin masuk meminang’.
“Itu yang kami nak tekankan dalam lagu itu, iaitu mengenai perjalanan untuk masuk meminang. Tak ada apa pun sebenarnya,” jelasnya lagi.
Tambah Shima, kekeliruan tidak akan timbul sekiranya orang ramai menonton muzik video lagu tersebut yang secara jelas memaparkan babak rombongan meminang.
“Memang tak ada unsur ‘double meaning’ sebab maksud lagu itu jelas dalam muzik video.
“Jadi mereka yang nak fahamkan lagu itu memang kena tonton muzik video terlebih dulu untuk lebih faham,” katanya.
Dalam pada itu, Shima mengakui dirinya sudah lali dengan kecaman netizen dan tidak pernah serik untuk terus berkarya meskipun sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi.
Namun begitu, penyanyi berkenaan berkata dia akan lebih berhati-hati dalam pemilihan lagu dan lirik pada masa akan datang bagi mengelakkan salah faham berulang.
“Pemilihan lagu macam biasa, mana yang okey saya akan teruskan rakaman. Tahun ini kita akan hasilkan banyak lagi lagu.
“Tapi kita bagi lagu yang ‘direct’ supaya senang orang faham, sebab ada sesetengah orang lambat ‘pick up’,” ujar Shima.



